HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Disember 2009

Kerajaan Negeri Disaran Bijak Cari Sumber Lain


Editor Buletin

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri disaran lebih bijak mencari sumber lain yang mampu meningkatkan hasil pendapatan negeri tanpa terlalu mengharapkan dana daripada Kerajaan Pusat.

http://buletinonline.net/images/stories/berita17/sidangdun1209.JPGAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut (Gambar - dua dari kanan) berkata, ketika ini Kerajaan Negeri masih terlalu bergantung kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (royalti minyak) sebagai hasil utama.

Menurutnya, dana daripada royalti minyak berjumlah RM1.731 bilion atau 92 peratus mewakili sebahagian besar peruntukan disediakan Kerajaan Negeri untuk Bajet 2010 keseluruhannya berjumlah RM1.881 bilion.


“Bakinya RM163 juta atau hanya lapan peratus datang daripada sumber Kerajaan Negeri dan ia menunjukkan ketidakupayaan Kerajaan Negeri menjana pendapatan sendiri setelah sekian lama.

“Dengan pendapatan berkenaan, nak bayar gaji pekerja di negeri ini pun tidak mencukupi,” katanya ketika sesi perbahasan pembentangan Bajet 2010 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal ke-12, di sini, semalam.

Mohd Abdul Wahid berkata, sikap kebergantungan sangat tinggi terhadap royalti minyak adalah tidak selamat, apatah lagi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sendiri mengakui sumber minyak tidak akan kekal selamanya dan ia juga tertakluk kepada harga pasaran dunia.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila baru-baru ini, Petronas mengumumkan pendapatannya menguncup kurang RM57 bilion.

“Kita juga berhadapan dengan ketidakyakinan bahawa Kerajaan Negeri akan menerima sepenuhnya hasil royalti minyak ataupun pembayaran Dana Khas daripada Petronas ataupun Kerajaan Persekutuan seperti dalam anggaran bajet.

“Sebagai contoh, saya rujuk buku anggaran Bajet 2010, muka surat lapan berhubung royalti minyak pada 2009, hasil minyak dianggarkan berjumlah RM1.533 bilion tetapi berapa yang dibayar kepada kita," katanya.

Menurutnya, pada 2010 pula, hasil minyak dalam buku bajet dianggarkan RM1.629 bilion tetapi berapa yang diperoleh.

"Hal ini diakui sendiri Menteri Besar dalam ucapan bajet semalam. Kedudukan kewangan negeri iaitu akaun hasil disatukan telah mengalami defisit sebanyak RM424.69 juta pada 2008 berbanding defisit pada 2007 yang berjumlah RM278.42,” katanya

Tiada ulasan: