HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Disember 2009

Cabaran Tun Mahathir, apa lagi kerajaan mahu tunggu?

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera bertindak menubuhkan suruhanjaya bebas seperti dicabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyiasat dirinya dan juga seorang lagi mantan perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Mahathir dan Tun Abdullah kini dipalitkan dengan dakwaan masing-masing RM100 bilion dan RM270 bilion lesap akibat rasuah dan pembaziran di zaman pemerintahan mereka.

Naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan tidak perlu menunggu lebih lama lagi, memandangkan Tun Mahathir sendiri mempersoal penggantinya Tun Abdullah sewaktu menjadi Perdana Menteri.

"Apa lagi kerajaan nak tunggu, perkara itu diakui oleh bekas PM sendiri, kerajaan perlu bertindak segera, sama ada tubuh Suruhanjaya Di Raja ataupun Jawatankuasa Khas di bawah Parlimen menyiasat dakwaan ini", katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pendedahan buku tersebut juga tidak mustahil benar memandangkan institusi negara katanya telah rosak dan sesiapa pun menjadi perdana menteri, perkara sama tetap akan berlaku.

"Memang kerajaan ni korup dan penuh dengan penyelewengan. Zaman Najib sekarang pun sama, PKFZ la enjin jet hilang la, selagi tiada perubahan dalam institusi, siapa naik jadi PM pun perkara sama tetap akan berlaku", katanya lagi.

Sebelum ini sebuah buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times, karangan Barry Wain membuat pendedahan mendakwa Tun Mahathir menghanguskan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pentadbirannya.

Ekoran pendedahan itu, beberapa pihak mendesak kerajaan segera menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat Tun Mahathir.

Tun Mahathir sewaktu mengulas dakwaan itu bagaimanapun meminta kerajaan turut menyiasat penggunaan wang RM270 bilion sepanjang lima tahun kepemimpinan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam perkembangan sama Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib segera menubuhkan suruhanjaya bebas seperti dicabar Tun Mahathir.

"Sebenarnya Mahathir mencabar pemerintahan Umno-Bn yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak. Najib tidak perlu bertangguh-tangguh atau berdolak-dalik dan harus membentuk segera Suruhanjaya tersebut," katanya.

Suruhanjaya itu katanya hendaklah diberi bidang kuasa luas bagi menyiasat pendedahan Barry Wain dan juga mengkaji segela bentuk rasuah dan pembaziran yang dikaitkan dengan mantan PM Mahathir itu.

Bahkan tegasnya , jika perlu dan sesuai, suruhanjaya ini boleh juga mengkaji segala yang belaku di bawah pemerintahan Abdullah badawi, sebgaimana didakwa dan didesak oleh Mahathir.

Beliau turut mencadangkan agar suruhanjaya tersebut dianggotai bukan saja oleh hakim serta bekas hakim, tetapi juga tokoh-tokoh politik kerajaan serta bukan kerajaan dan tokoh-tokoh professional bagi menjamin ketelusan penyiasatan.

"Seharusnyalah ada jaminan supaya segala perakuan Suruhanjaya diambil tindakan oleh Kerajaan serta pihak berkuasa lain. Janganlah hendaknya ia ditimpa nasib seperti suruhajaya mengenai polis dan “Pita Lingam”, katanya.

Tiada ulasan: