HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Disember 2009

240 peragut ditahan di Johor sejak Januari

BERNAMA


JOHOR BHARU: Polis Johor menahan 240 orang peragut sejak Januari lalu sehingga kini di mana seramai 40 orang daripadanya telah dikenakan tindakan undang-undang, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

"Ini termasuk empat tangkapan terbaru pada 8 Disember lalu, membabitkan mereka yang berumur 20 hingga 27 tahun yang berasal dari Masai dan Kampung Melayu, di sini serta Muar.

"Mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat ASP kepada 45 anggota polis dan penyerahan jaket trafik, di sini, hari ini,

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan pengawasan bagi menjamin keselamatan orang awam di negeri ini dari menjadi mangsa kekejaman peragut.

Mohd Mokhtar turut meminta orang ramai supaya menyalurkan pandangan, idea dan komen di ruang yang disediakan di portal Polis Kontinjen Johor, www.polisjohor.gov.my untuk menambah baik kualiti perkhidmatan pasukan berkenaan.

Beliau berkata, portal itu yang menjadi salah satu medium saluran maklumat dan aduan kegiatan jenayah, dilayari 102,000 pengunjung sejak dilancarkan dua tahun lalu.

"Komen, idea dan cadangan orang ramai khususnya dari aspek pencegahan dan membanteras jenayah diharap dapat mencapai matlamat pengurangan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus dan jenayah indeks sebanyak lima peratus pada akhir tahun depan," katanya.

Tiada ulasan: