HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Disember 2009

Kehilangan enjin hasil manusia tidak takut balasan akhirat - Nik Aziz

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan akibat didikan politik Umno terhadap rakyat di negara sejak lebih 52 tahun lalu dengan ajaran 'politik suku, agama suku' menyebabkan pimpinan parti sekular itu mengenepikan aspek dosa dan pahala, syurga dan neraka dalam pemerintahannya sehingga ada yang sanggup mencuri enjin jet pejuang milik megara.

Beliau berkata, sama ada wujud dakwaan yang menggesa supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tanggungjawab atau tidak terhadap peristiwa kecurian enjin jet pejuang Malaysia itu, sememangnya Najib bertanggungjawab.

"Sama ada kita suruh dia (Najib) bertanggungjawab atau tidak, dia memang bertanggungjawab, dunia dan akhirat. Itu benda (kedudukannya).

"Saya sebagai Menteri Besar yang menjaga negeri (Kelantan) ini pun, saya bertanggungjawab (terhadap pemerintahan negeri ini), sekadar mana yang termampu, kecuali Allah swt tahu (bahawa) saya tidak mampu, itu apa boleh buat.

"Jadi masalah Perdana Menteri kita ni, dia mengertikah atau tidak tanggungjawab dunia dan akhirat itu atau dia tidak faham, itu saya tidak tahu, tetapi dengan sebab parti dia (Umno adalah) parti sekular, yang tidak mempedulikan dosa pahala, syurga dan neraka, maka terjadilah (seperti peristiwa kecurian enjin jet pejuang itu).

"Dan banyak lagi pada masa hadapan benda (kejadian) yang 'karut maruk' begini berlaku (insya Allah adalah) hasil daripada didikan kerajaan (diterajui Umno-BN) terhadap rakyat dengan ajaran 'agama lain, politik lain'. Itulah penyakit besarnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini semalam.

Terdahulu dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahmufz Omar mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib memanggil sidang Khas Parlimen bagi membincangkan peristiwa kehilangan enjin jet pejuang negara itu.

Mahfuz seterusnya bercadang mengemukakan usul pembentukan jawatankuasa siasatan peringkat Parlimen megnenai perkara itu, manakala Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali pula menggesa Menteri Pertahanan (yang memegang jawatan) semasa berlakunya kecurian enjin jet pejuang negara itu mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku.

"Bahkan perlu bertanggungjawab juga terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu belum lama dahulu," kata Dr Lo' Lo' sambil mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting itu oleh kerana ianya melibatkan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad mempertikaikan sikap Kerajaan dan Kementerian Pertahanan yang mana isu kehilangan enjin jet pejuang itu kini (baru) ditimbulkan sedangkan kejadian itu berlaku sejak 2007 lagi.

Oleh itu, kata Ustaz Idris beliau yakin ianya membabitkan orang yang berkuasa dan perlulah disiasat segera - sambil merujuk kepada indeks rasuah negara yang meningkat dari setahun ke setahun di mana pada 2008 Malaysia berada di tempat 47 manakala indeks 2009 pada angka 56.

Menurut sumber, dua buah enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang itu berharga RM50 juta setiap satunya di mana enjin pertama hilang pada 2007 dan enjin keduanya hilang dua tahun lalu di mana disedari pihak berkenaan pada Mei 2008.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang mempertikaikan kenapa kehilangan dan kecurian harta pertahanan negara itu tidak dibangkitkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara bagi tahun 2007 atau 2008 selaras dengan Seksyen 6 Akta Audit 1957 di mana penguditan Ketua Audit Negara termasuklah menentukan sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk memberikan penjelasan mengenai - dan untuk mempastikan - penggunaan, pengawalan, penyenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya segala harta awam pihak bawah auditnya.

Menurut Tan, Seksyen 9(5) akta tersebut memperuntukkan bahawa Ketua Audit Negara boleh - dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107(1) Perlembagan Persekutuan (lebih dikenali sebagai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara) - membuat syor dan boleh secara umum memberikan ulasan tentang semua perkara yang berhubungan dengan akaun, wang dan harta awam.

Mengenai kehilangan enjin jet pejuang itu, beliau berkata Ketua Audit Negara seharusnya membangkitkan penyelewengan itu dalam laporan tahunannya kerana ia membabitkan kepentingan awam. Ketua Audit Negara perlu memberi penjelasan kenapa penyelewengan tersebut tidak dibangkitkan dalam laporan tahunannya hingga kini?

Selain dari itu, kata Tan, Kerajaan juga harus mengambil tindakan untuk memastikan Ketua Audit Negara akan membangkitkan dalam laporan tahunannya semua penyelewengan yang membabitkan harta kerajaan pada masa hadapan.


Dato' Nik Aziz turut mengulas kemenangan tipis (66-63) pihak Kerajaan ketika membentangkan Bajet 2010 di Parlimen serta dakwaan wujudnya krisis kepercayaan terhadap kepimpinan Najib.

"Boleh jadi memang begitu, dan boleh jadi orang Umno ni apabila mereka masuk calon, mereka tidak berasa mereka menjadi ahli politik. Mereka berasa (sebagai) ahli korporat.

"Oleh demikian, apabila bertembung masalah korporat dengan politik, mereka mengambil korporat sama ada (sibuk) mengurus perniagaan dan boleh jadi pergi ke luar negeri menguruskan syarikat," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan dan serentak itu Nik Aziz menyatakan bahawa selaku pimpinan dalam PAS bahawa apabila berada dalam politik merasakan sebagai satu ibadat.

"Sebagaimana sembahyang dan berzikir adalah ibadat, maka berpolitik untuk membetulkan arah pemikiran manusia kepada Allah swt itu pun adalah ibadat. Namun cara kini ialah kita guna parti (bertadning dalam pilihan raya).

"Ini kerana dunia kini menggunakan parti, namun dua puluh tahun akan datang, entah macam mana orang guna (berpolitik), wallahu 'alam," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa kemenangan tipis pihak Kerajaan ketika membentangkan Bajet 2010 itu menggambarkan kelemahan pimpinan paling ketara dalam sejarah Perdana Menteri Malaysia, beliau melihat dalam sudut lain.

"Saya tidak hendak pergi ke situ (persoalan itu), tetapi perasaan wakil rakyat Umno-BN ni mereka tidak berasa serupa kita (pemimpin PAS) di mana kita memahami bahawa sembahyang yang ditunaikan dengan tidak sempurna itu adalah berdosa, maka begitu juga dengan berpolitik.

"Sekiranya tidak sempurna politik Islam, maka berdosa termasuk menghadiri sidang Dewan Negeri atau Parlimen. Semasa berkempen, kita berkempen, demikian juga ketika mengundi, kita mengundi.

"Namun Umno dengan sebab mereka tolak Islam, dan mengambil 'kebangsaan' (sebagai dasar parti mereka), mana ada dosa pahala, menyebabkan manusia kini mencuri, (bahkan) mencuri enjin jet pejuang. Perbuatan (tergamak) mencuri enjin itu adalah kerana mereka dididik dengan kemewahan dan hidup berseronok.

"Oleh itu untuk mencapai tahap kemewahan dan keseronokan itu, perlukan wang walau pun (terpaksa) mencuri dan menjual harta kerajaan, sanggup dilakukan asalkan dapat wang," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Mas Rohani Ibrahim berkata apa pun yang berlaku dan siapa pun pempimpin terbabit, namun beliau bertanggungjawab terhadap peristiwa kehilangan dua enjin jet pejuang negara berhaga RM50 juta setiap satu itu.

"Bagi saya, walau apa pun dan siapa pun dia bahawa waktu berlaku kejadian (kehilangan enjin jet pejuang) itu, maka orang itulah yang sepatutnya dipertanggungjawabkan, bahkan beliau pada waktu itu adalah Menteri Perhanan.

"Saya bersetuju sangat dengan gesaan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' yang menggesa supaya Menteri Pertahanan (yang memegang jawatan semasa kecurian enjin jet pejuang negara itu berlaku), beliau mesti bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selain dari perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan bahan peledak C4 oleh dua anggota polis ketika meletupkan wanita Monggolia Altantuya Shariibuu belum lama dahulu.

"Dan bersetuju supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kedua-dua peristiwa penting itu yang membabitkan penyalahguanaan kuasa.

"Isu ini baru dihebohkan, namun ketika peristiwa itu berlaku bahawa orang berkenaan memegang jawatan Menteri Pertahanan dan sekarang orang itu masih ada dengan kapasiti pangkat yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Local Aenda 21 Majlis Muafakat Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bersama masyarakat di Tanjong Mas dekat sini pagi ini.

"Perlu sangat disiasat peristiwa itu sampai ke akar umbi dan harus bersifat telus," kata Rohani (Kak Ani) yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri.

Tiada ulasan: