HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2009

PDAM mengaku sukar kawal pembelian lebih petrol, diesel

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mengakui sukar mengawal pembelian berlebihan petrol dan diesel di stesen minyak di kawasan lingkungan 50 kilometer dari pintu sempadan negara berikutan lebih 20 peratus transaksi dilakukan menerusi kad terutama kad kredit.

Presidennya, Datuk Ha-shim Othman, berkata kawalan ke atas pembelian bahan api oleh warga asing hanya boleh dibuat jika mereka melakukan transaksi secara tunai.

Katanya, kadar itu dijangka meningkat berikutan langkah kerajaan memperketatkan kawalan dan penguatkuasaan larangan menjual petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing.

"Kemungkinan warga asing akan beralih daripada tunai kepada kad bagi mengelak kegiatan mereka dihidu oleh pengusaha stesen minyak.

"Kebanyakan pengusaha stesen minyak mengikut arahan kerajaan untuk tidak menjual dua jenis bahan api itu melebihi kadar ditetapkan, bagaimanapun pemantauan terhad pada transaksi yang dibuat secara tunai," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas amaran kerajaan untuk merampas bukan saja petrol dan diesel yang dibeli berlebihan, malah kenderaan asing yang membawanya sebagai mengekang kegiatan warga asing menikmati subsidi minyak yang dikhususkan untuk rakyat tempatan.

Hashim berkata, kadar penggunaan kad di stesen minyak mengikut kawasan dan di Lembah Klang saja penggunaan kad antara 60 hingga 70 peratus.

Beliau turut mengakui walaupun kebanyakan pengusaha akur dengan arahan kerajaan, terdapat juga sebilangan kecil pengusaha stesen minyak yang bertindak sebagai `kambing hitam' apabila bersubahat dengan penyeludup.

Sehubungan itu, katanya, tindakan berkesan mengekang kegiatan warga asing menikmati subsidi minyak melalui kawalan yang diperketatkan dan diperkemaskan di pintu sempadan negara.

Tiada ulasan: