Oleh Azman Mahmood
KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) sedia memecat ahli yang terbabit dengan rasuah untuk mendapatkan atau ketika melaksanakan sesuatu projek.
Presidennya, Datuk Mokhtar Samad berkata, ahli PKMM perlu mengelak daripada terbabit dalam sebarang bentuk rasuah bagi pelaksanaan sesuatu projek terutama projek berkepentingan umum.
"Pihak persatuan amat terkejut dengan dakwaan gejala rasuah dalam industri pembinaan negara sangat serius. Jika dakwaan itu benar, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan bagi menangani masalah itu," katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak serius memerangi rasuah dalam pelbagai bidang termasuk dalam pemilihan Umno .
"Oleh itu, malang jika gejala rasuah dalam sektor pembinaan negara dikatakan serius. PKMM berharap semua kontraktor tidak membabitkan diri dengan gejala itu. Apa yang kita tahu kontraktor Bumiputera di negara ini sangat menyokong dan membantu membangunkan ekonomi negara.
"Pada masa sama kenyataan SPRM mengenai gejala itu dalam industri pembinaan negara sekurang-kurangnya boleh menyedarkan semua pihak selain menjadi tanggungjawab badan itu dan kita menyokong tindakan tegas diambil bagi menangani masalah itu, " katanya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed, sebelum ini dilaporkan media berkata gejala rasuah dalam industri pembinaan negara berada pada tahap yang sangat serius dan ia terbukti dengan wujudnya masalah yang membabitkan projek besar dan bernilai tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan