HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 Disember 2009

Kastam nafi tahan buku di Pelabuhan Klang

Oleh saiful haizan hasam


KUALA LUMPUR - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menolak dakwaan bahawa pihaknya telah menahan 800 naskhah buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times di Pelabuhan Klang sejak empat minggu lalu.

Sumber KDRM Selangor berkata, pihaknya tiada asas untuk berbuat demikian kerana semua buku yang dibawa masuk dari luar negara adalah bebas cukai.

Katanya, penapisan kandungannya pula bukan berada dalam bidang tugas KDRM sebaliknya diserahkan kepada pegawai pengawal perjalanan (TCO) yang terdiri daripada anggota polis.

''Sepanjang pengetahuan saya, tidak berlaku penahanan buku berkenaan oleh kastam seperti yang didakwa.

''Apabila buku dari luar negara tiba, kami merujuk kepada TCO, mereka akan menilai sama ada ia boleh dibawa masuk atau tidak,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Minggu lalu, sebuah portal berita propembangkang menyiarkan laporan Asia Sentinel yang merupakan sebuah laman berita berpangkalan di Hong Kong bahawa KDRM menahan buku tulisan bekas Pengarang Urusan Asian Wall Street Journal, Barry Wain itu.

Asian Sentinel dalam laporan itu mendakwa buku terbitan negara luar yang dibawa masuk ke Malaysia melalui kargo udara biasanya tidak diperiksa atau sekadar diperiksa sepintas lalu oleh KDRM di lapangan terbang.

Laporan itu mendakwa, buku yang dihantar melalui kapal atau jalan darat dari Singapura pula biasanya ditahan untuk pemeriksaan atau dalam erti kata lain, pegawai kastam akan menghabiskan masa berminggu-minggu untuk membacanya.

Dakwanya lagi, kadang-kadang tiada apa-apa dilakukan sehingga penerbit terpaksa menarik balik buku terbabit atau berdepan dengan caj penyimpanan yang boleh disifatkan sebagai kaedah mengharamkannya secara efektif tanpa perlu berdepan dengan kritikan jika ia dibuat secara rasmi.

Tiada ulasan: