HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Disember 2009

Teliti permasalahan sebelum menghukum

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kelantan (PKMMNK) meminta Kementerian Pelajaran meneliti permasalahan para kontraktor yang gagal menyiapkan 126 buah sekolah di negeri ini sebelum menghukum mereka.

Yang Dipertuanya, Mohd. Rosdi Abdul Aziz berkata, pada asasnya, persatuan bersetuju dengan langkah menyenaraihitamkan dan menutup peluang mereka mendapat projek kementerian pada masa depan.

''Namun, biarlah yang dikenakan tindakan itu bersandarkan alasan mereka mengabaikan tanggungjawab.

''Kita berharap kontraktor yang benar-benar serius dalam kerjaya mereka tidak teraniaya ekoran permasalahan yang di luar kawalan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Kementerian Pelajaran mengenai 16 buah sekolah di negeri ini gagal disiapkan hingga menjejaskan rancangan kementerian untuk membuka sekolah berkenaan pada sesi persekolahan bermula awal Januari ini.

Kegagalan itu menyebabkan usaha untuk mengadakan hanya satu sesi persekolahan bagi memberikan keselesaan kepada pelajar tertunda.

Mohd. Rosdi menarik perhatian, banyak faktor yang menghalang para kontraktor sehingga menjejaskan prestasi pelaksanaan projek-projek yang dipercayai ditawarkan sekitar 2008 dan awal 2009.

''Pada masa itu, hampir semua projek terpaksa dihentikan sementara atau diperlahankan kerana negara menghadapi kegawatan ekonomi. Harga bahan binaan melonjak di luar jangkaan dan pembekal menawarkan bahan secara tunai.

''Sebilangannya dibebankan lagi dengan kelewatan penyaluran peruntukan oleh pihak kementerian bagi pembayaran kepada kontraktor dan sehingga kini masih terdapat tuntutan yang tertunggak," ujarnya.

Beliau juga menyentuh mengenai banyak projek pembinaan sekolah kini dilaksanakan sendiri untuk pihak kementerian, tidak sebagaimana amalan biasa di bawah Kementerian Kerja Raya.

''Walaupun Kementerian Pelajaran melantik perunding namun, sebarang keputusan berhubung perubahan skop kerja dari semasa ke semasa terpaksa dirujuk kepada kementerian itu,'' katanya.

Tiada ulasan: