HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 Disember 2009

Muafakat Baru atau 1 Malaysia?

Wan Hamidi Hamid (MI)


analisisKejayaan paling besar buat gabungan pembangkang dalam dekad ini adalah apabila tiga parti yang bertentangan ideologi mampu duduk berhimpun untuk mencapai kata sepakat bagi membentuk satu platform dasar bersama.

Maka lahirlah dasar bersama itu pada konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.

Walau pun ini tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang bersejarah, ia amat penting dalam konteks Malaysia yang masih bergelumang dengan politik kaum dan agama.

Apatah lagi apabila gabungan tidak rasmi itu yang dianggotai Parti Islam SeMalaysia, Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Rakyat seolah-olah kehilangan arah sejak setahun lalu kerana dilanda masalah dalaman dan luaran.

Memang Barisan Nasional yang menguasai kerajaan pusat dan majoriti kerajaan negeri tidak pernah melepaskan peluang untuk mencari kesilapan dan kesalahan Pakatan melalui media massa yang dimilikinya. Tetapi pada masa yang sama, kalangan Pakatan sendiri telah mencipta masalah dalaman serta sesama mereka.

Dengan adanya tolak ansur dan persefahaman itu, kini sudah wujud satu platform bersama untuk Pakatan bagi membuat persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Langkah pertama telah disempurnakan.

Namun, sejauh mana Pakatan Rakyat akan terdaya memikul dan menjinjing dasar bersama itu untuk tahun-tahun mendatang ini? Adakah semua masalah sudah selesai atau pahat akan terus berbunyi selepas rumah siap dibina?

Langkah kedua bagi Pakatan Rakyat adalah tindakan susulan. Ini termasuk menghalusi semula dasar-dasar yang dipersetujui bersama itu untuk menjelaskan lagi secara terperinci perkara-perkara yang mahu mereka perjuangkan.

Ia tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang sukar kerana Pakatan Rakyat bukannya membawakan perubahan radikal. Pemikiran para pemimpin gabungan pembangkang itu tidak banyak bezanya daripada majoriti rakyat yang konservatif.

Atas kesedaran ini juga, dasar bersama Pakatan awal-awal lagi telah menyuarakan usaha untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub di dalamnya Islam sebagai agama Persekutuan. Ia juga berikrar untuk mempertahankan kedudukan istimewa Bumiputera dalam Perkara 153 dan martabat Bahasa Melayu dalam Perkara 152.

Harapan Pakatan ialah supaya orang Melayu dan Islam tidak bimbang untuk membuat perubahan dengan memilih gabungan PAS, PKR dan DAP sebagai alternatif kepada Umno dan Barisan Nasional.

Rasanya tidak salah jika dikatakan mesej platform bersama itu adalah untuk meneruskan kebanyakan dasar Barisan Nasional terutamanya dalam soal pembangunan dan kemajuan negara yang dilihat sebagai telah diterima baik oleh rakyat TANPA membawa bersamanya gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Mungkin kalangan penyokong dan pemimpin Pakatan tidak selesa dengan persamaan ini tetapi jika dilihat dasar-dasar asasnya, memang tidak banyak cadangan yang boleh dianggap radikal kecuali dalam soal hak dan kebebasan.

Sejak lebih 30 tahun lalu, semua hak-hak ini telah terhakis satu demi satu di bawah pentadbiran Barisan yang semakin renggang daripada rakyat yang sepatutnya mereka layani.

Di sinilah letaknya kekuatan Pakatan Rakyat. Namun, perlu ada usaha alternatif untuk menyampaikan hasrat mereka kepada rakyat berikutan penguasaan media massa oleh Umno dan Barisan.

Tidak ada gunanya bercakap soal keadilan, kebebasan, demokrasi dan peluang saksama sekiranya tidak cekap dalam menguruskan pelaksanaannya. Persepsi rakyat amat penting terhadap Pakatan. Jika rakyat terus mendapat maklumat mengenai Pakatan dari media milik Umno dan BN, sukar untuk melawan arus walau pun fakta dan kebenaran telah dipesongkan.

Malaysia akan menyaksikan pertembungan di antara dasar bersama Pakatan yang dinamakan Muafakat Baru Untuk Malaysia dan agenda 1 Malaysia milik Barisan. Bagi rakyat, ini akan memberi peluang untuk menilai mana yang kaca, mana yang intan. Yang lebih penting ialah butir-butir dalam dasar yang mahu dilaksanakan.

Mungkin ada antara kita yang ingin tahu lebih lanjut lagi, misalnya dalam soal pendidikan, sama ada sistem kemasukan ke kolej dan universiti awam serta pemberian biasiswa akan dilaksanakan secara adil tanpa mengira kaum dan agama.

Ada juga antara kita yang mengharapkan perkhidmatan awam yang lebih adil dengan membuka kemasukan berasaskan kelayakan tanpa mengira kaum dan agama. Ini dapat meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan awam sendiri yang sekian lama dibelenggu oleh birokrasi gergasi. Malah mereka di kalangan perkhidmatan awam juga mengharapkan agar kenaikan pangkat berasaskan kelayakan dan meritokrasi tanpa campur tangan politik.

Ada pula yang ingin mengetahui sama ada berlaku perubahan dalam kuota pembelian rumah, cukai-cukai serta bayaran yang dikenakan serta bermacam lagi persoalan yang akan menjejaskan poket dan kewangan keluarga.

Selagi usaha-usaha ini berasaskan Perlembagaan, tidak ada sesiapa yang perlu takut dan bimbang dengan kemungkinan “terhakisnya” hak mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang rugi — kecuali mereka yang biasa hidup menjadi kroni dan mempunyai kabel politik yang panjang — jika Malaysia menjadi sebuah negara yang demokratik dan mengamalkan sistem yang adil, cekap, telus dan bebas dari rasuah serta penyelewengan.

Jika Pakatan komited dengan apa yang dijanjikannya, tidak mustahil rakyat dapat menikmati kebebasan yang dicita-citakan — di mana media massa bebas, kehakiman adil dan tegas, polis dan badan pencegahan rasuah dan penyelewengan bebas serta berani. Teguhnya semua institusi ini akan melahirkan suasana ideal untuk dunia perniagaan dan pelaburan; dan peluang pekerjaan pula akan bercambah.

Agenda 1 Malaysia juga mempunyai cita-cita yang sama untuk sebuah masyarakat ideal dalam negara yang maju. Namun Pakatan mempunyai sedikit kelebihan kerana tidak seperti Umno dan Barisan, mereka belum terjebak dalam kancah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa secara meluas.

Dengan itu, empat negeri yang ditadbir Pakatan sekarang perlu lebih bertungkus lumus untuk menunjukkan teladan yang sebaik mungkin. Memang besar bezanya di antara pentadbiran kerajaan negeri dan Pusat tetapi tidak ada ruginya berlumba untuk menonjolkan siapa lebih adil, bertanggungjawab, telus dan saksama.

Mungkin cabaran paling getir untuk Pakatan ialah menangani soal kaum dan agama. Sejak sebelum merdeka lagi, masalah ini sudah lama terbuku. Untuk menghuraikannya memerlukan masa, kesabaran dan kebijakan serta tolak ansur yang ikhlas.

Pakatan perlu merapatkan barisan sesama parti gabungan. Tidak ada salahnya berbahas dan berdebat dalam soal-soal kepentingan rakyat. Itu bukan tanda perpecahan; malah ia adalah hikmah demokrasi.

Tetapi jika terus berbalah dan saling tuduh-menuduh serta curiga antara satu sama lain, Pakatan boleh melupakan impian untuk menjejakkan kaki ke Putrajaya. Rakyat sudah meluat dengan konflik politik yang tak berkesudahan.

Rakyat akan menimbang mana satu yang lebih baik — Agenda 1 Malaysia atau Muafakat Baru Pakatan Rakyat. Dan semua ini akan ditentukan oleh kata-kata, sikap, perangai, amalan dan perbuatan ahli-ahli politik kita sepanjang 12 bulan akan datang; kalau pun tidak dalam masa 24 bulan lagi.

Tiada ulasan: