PELABUHAN KLANG - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk atau keluar dari negara ini kini tidak perlu lagi mengharungi badai dan gelora lautan kerana terpaksa menaiki bot kecil yang beroperasi secara haram.
Sebaliknya, mereka kini mempunyai cara baru untuk datang dan pergi ke negara ini dengan cara yang lebih selesa iaitu menaiki feri penumpang yang beroperasi secara sah.
Apa yang perlu mereka lakukan hanya bersembunyi di satu ruang khas di dalam feri yang dilengkapi kemudahan bangku, kipas dan pendingin hawa.
Ruang kecil yang boleh memuatkan 48 orang itu agak sukar dikesan pihak berkuasa kerana ia hanya boleh dimasuki melalui bilik enjin dan terpaksa merangkak untuk memasukinya.
Taktik penyeludupan manusia itu dikesan setelah Pasukan Gerakan Marin (PGM) memeriksa sebuah feri penumpang Malaysia-Indonesia di perairan Bagan Hailam, dekat sini hari ini.
Dalam operasi itu, PGM menahan kapten feri terbabit yang berusia lingkungan 40-an dan enam anak kapal. Dia dikatakan sering menyeludup para pendatang asing keluar dan masuk dari negara ini.
Ketika diperiksa pada pukul 9.30 pagi hari ini, seramai 48 PATI warga Indonesia ditemui berasak-asak dalam satu ruang tersorok di perut feri itu.
Difahamkan, kesemua PATI terbabit termasuk 20 wanita. Salah seorang daripadanya hamil enam bulan, bekerja di Johor, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor ingin pulang ke Indonesia pagi ini dengan bayaran RM1,000 seorang.
Mereka yang telah berkumpul di dalam feri 'MV Ocean' itu sejak 9 malam tadi terpaksa menunggu penumpang yang sah memenuhi tempat duduk sebelum bergerak menuju ke Tanjung Balai, Indonesia tengah hari ini.
Pegawai Pemerintah Markas PGM Wilayah 1, Deputi Supritendan Norzaid Muhammad Said berkata, kegiatan kapten feri itu memang sukar dikesan kerana pada mata kasar kerana feri itu membawa penumpang yang sah.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap feri tersebut sebelum menemui kesemua PATI terbabit sedang bersembunyi dalam satu ruang kecil.
"Kita mengesan lubang dalam feri itu sepanjang kira-kira dua meter yang menyambungkan kepada ruang kecil iaitu tempat persembunyian PATI," kata beliau kepada pemberita di Markas PGM di sini hari ini.
Menurut Norzaid lagi, kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana masuk dan keluar dari negara ini melalui jalan tidak dibenarkan atau diwartakan.
Kapten feri tersebut yang juga warga Indonesia pula kata beliau, ditahan di bawah Seksyen 56(1) (d) akta sama kerana memberi perlindungan kepada orang diketahuinya melanggar peruntukan akta pertama.
"Kebanyakan PATI yang ditahan telah menetap di negara ini antara enam bulan hingga tiga tahun dan bekerja sebagai pembantu rumah, operator kilang serta pekerja ladang.
"Kita percaya kapten ini beroperasi dengan bantuan sindiket yang didalangi warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap dan kita masih menyiasat berapa lama mereka telah beroperasi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan