HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2010

Tengku Razaleigh sedia lepas jawatan

BERITA HARIAN ONLINE



KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah sedia melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Gua Musang jika Pemuda Umno Kelantan dapat memberi jaminan mengekalkan kerusi kawasan berkenaan milik Barisan Nasional (BN).

Pegawai Khas Tengku Razaleigh, Muhd Lukhman Ghani, berkata Pemuda Umno Gua Musang seharusnya memikirkan kesan jangka panjang terhadap kenyataan berkenaan, malah Ketua Umno Gua Musang itu menganggap desakan sayap parti itu tidak memberi sebarang kesan terhadapnya.

“Ku Li boleh letak jawatan sebagai Ahli Parlimen pada bila-bila masa, tetapi beliau risau jika berbuat demikian Umno tidak akan menang di Gua Musang (dalam pilihan raya kecil).

“Bagaimanapun, jika Pemuda Umno yakin boleh menang, Ku Li rela letak jawatan,” katanya semalam.

Kelmarin, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian menyarankan Tengku Razaleigh melepaskan jawatan dan menyertai Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat lebih sesuai dengan sikap serta pendiriannya.

Anuar berkata, Tengku Razaleigh tidak seharusnya duduk bersama pemimpin Pas dan kemudian memperkecil serta membuat pelbagai tuduhan terhadap pucuk pimpinan parti.

Muhd Lukhman berkata, bekas Menteri Kewangan itu juga menganggap Ketua Pemuda Umno Kelantan itu terlalu muda dan tidak faham perjuangan asal Umno, sekali gus tidak wajar mendesak Ku Li meletak jawatan dan menyertai pembangkang.

“Pemuda Umno sebenarnya tidak faham isu yang diperjelaskan Ku Li, malah mereka tidak melihat dari sudut yang tersirat.

“Penjelasan Ku Li berhubung isu royalti minyak untuk kebaikan rakyat Kelantan supaya rakyat di negeri dikuasai pembangkang itu akan berterima kasih dan kemudian menyokong Kerajaan Pusat kerana apa yang mereka kehendaki dipenuhi,” katanya.

Tiada ulasan: