Oleh Syuhada Choo Abdullah
KUALA LUMPUR: Cadangan mengenakan hukuman kasi atau memandulkan bapa kepada bayi yang dibuang tidak boleh dilaksanakan kerana ia haram dalam hukum Islam, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Beliau berkata, hukuman berkenaan akan memutuskan zuriat lelaki terbabit, sedangkan dia kemudian insaf serta bertaubat dan ia diterima Allah SWT jika ditakdirkan sedemikian.
“Justeru dalam Islam, tidak ada hukuman kasi. Sebaliknya, mereka yang melakukan kesalahan zina (yang menjadi punca utama kes pembuangan bayi) akan dikenakan hukuman sebat jika belum berkahwin, manakala bagi yang sudah berkahwin pula, direjam sehingga mati,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Akhbar semalam melaporkan seorang Senator yang marah dan kesal dengan peningkatan kes pembuangan bayi sejak akhir-akhir ini, mencadangkan supaya kerajaan mengenakan hukuman kasi atau memandulkan bapa kepada bayi yang dibuang.
Senator Ahmad Hussin dipetik sebagai berkata, hukuman itu wajar dan memberi pengajaran kepada mereka supaya lebih bertanggungjawab walaupun ada yang mungkin menganggapnya sebagai zalim.
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman, berkata sesuatu hukuman itu tidak boleh diwujudkan dengan sewenang-wenangnya atau sesuka hati.
“Ia mesti merujuk kepada al-Quran dan sunnah yang ditafsir melalui kitab fiqah supaya tidak bercanggah dengan syarak,” katanya.
Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata hukuman setimpal mengikut ketetapan agama perlu dikenakan dalam kes membuang bayi yang semakin berleluasa.
“Perbuatan membuang bayi sehingga mengakibatkan kematian boleh disifatkan sama dengan membunuh. Ia adalah dosa besar,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan