HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2010

Pakatan Rakyat Ada Harapan Cerah Di Hulu Selangor

Oleh Rusnizam Mahat


KUALA KUBU BAHARU - Pakatan Rakyat diramalkan mampu mempertahankan kerusi Parlimen P094 Hulu Selangor meskipun berhadapan dengan pelbagai halangan dan tekanan daripada jentera kerajaan Barisan Nasional.

Kajian oleh sebuah pusat kajian bebas, Zentrum Future Studies yang menjalankan kajian mikro persepsi kepercayaan politik di kalangan masyarakat mendapati Pakatan Rakyat memperoleh sokongan 51.7 peratus pengundi berbanding BN sebanyak 48.3 peratus di Hulu Selangor.

Pusat kajian tersebut yang menganalisis dan membuat kajian masa depan berkaitan politik, ekonomi dan sosial, mendapati sebanyak 61 peratus kaum Melayu menyokong BN, India sebanyak 54 peratus manakala sokongan Cina adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 78 peratus di kawasan Parlimen tersebut.

Golongan lelaki dilihat lebih berpihak kepada Pakatan Rakyat manakala wanita pula sebanyak 69 peratus menyokong Barisan Nasional.

Kajian itu, yang juga dilaporkan dalam media juga mendapati golongan muda jelas berpihak kepada Pakatan Rakyat iaitu 57 peratus iaitu mereka yang berusia antara 21 tahun hingga 30 tahun manakala 58 peratus yang berusia antara 31 hingga 40 juga menyokong calon KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim.

Manakala golongan veteran iaitu mereka yang berumur antara 40 hingga 59 tahun serta golongan berumur 60 ke atas masih tegar sebagai penyokong kuat BN.

Turut dinyatakan peranan media yang menunjukkan sebanyak 72 peratus penduduk kawasan bandar bergantung kepada media baru manakala sebanyak 42 peratus media baru berjaya menembusi kawasan-kawasan pendalaman.

Menurut Pengasas Zentrum, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah ketika dihubungi berkata, Pakatan Rakyat memerlukan sekurang-kurangnya 54 peratus sokongan pengundi untuk berada pada tahap selesa.

Tambah beliau, dari data yang diperoleh Zentrum, Pakatan Rakyat memperoleh sokongan padu di kawasan bandar berbanding BN di kawasan luar bandar.

Sokongan pengundi Melayu, wanita dan kaum muda katanya akan menentukan kemenangan calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil berkenaan.

Beberapa faktor dikatakan bakal mempengaruhi corak mengundi setelah tempoh berakhir kempen tamat malam ini iaitu kehadiran tokoh politik, pengaruh media baru dan tradisional, pengaruh atmosfera demokrasi seperti ugutan kepada kakitangan awam, masyarakat dan keluarga serta pengaruh budaya dalam isu agama.

Kajian juga menunjukkan faktor yang akan menentukan kemenangan seseorang calon bergantung pada faktor pengundi yang akan keluar mengundi dan mengambil kira faktor umur serta jantina mereka.

Tiada ulasan: