Oleh Faizal Ezzany
KUALA KUBU BAHARU - Kedatangan Mursyidur Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat pada pilihan raya kecil Hulu Selangor membuktikan kepimpinan PAS meyokong penuh calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.
Pada sidang media yang di adakan di Kuala Kubu Baharu semalam Nik Aziz menjelaskan beliau datang ke Hulu Selangor untuk bersama-sama berkempen memenangkan calon Pakatan Rakyat.
"Saya datang ke Hulu Selangor bukan atas dasar bangsa Melayu tetapi atas Parti Islam Semalaysia (PAS), bila sebut pasal PAS maka ia mewakili semua kaum bukan hanya tertumpu kepada bangsa Melayu sahaja.
"Dalam Islam tidak timbul soal bangsa dan apa yang kita buat menjadi bekal untuk akhirat nanti, hidup mati kita kerana Allah SWT. Cerdik manusia itu bergantung kepada ilmu yang dia miliki dan bagaimana dia menggunakannya," jelasnya.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menjelaskan PAS sudah serik dengan perjuangan Umno kerana prinsip mereka tidak telus.
"Dulu PAS telah bekerjasama dengan Umno tetapi bila Umno dah kuat mereka tendang PAS keluar, sehingga sekarang PAS dan serik untuk bersama Umno. Sekarang kita selesa dengan perjuangan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat kerana kita berjuang untuk rakyat," sambung beliau lagi.
Ketika ditanya berkenaan dengan tindakan Umno menyerang soal peribadi Zaid berkenaan minum arak, beliau menjelaskan Umno ini bersikap kebudak-budakan.
"Umno tak ada modal sekarang, kita berjuang dengan parti bukan individu. Kalau Umno ada idea serang parti jangan serang individu kitakan ada parti, jadi parti lawan partilah. Kerja Umno ini macam budak-budak dan bodoh, mereka semata lepas geram sahaja sebab tak berani melawan.
"Tindakkan Umno ini suatu yang memalukan politik Malaysia sekarang, mereka tak ada idea terpaksa menggunakan serangan peribadi," sambung Menteri Besar Kelantan itu lagi.
Beliau juga menyatakan rakyat perlu berani untuk menentang Umno yang disifatkan segai sekular, lebih-lebih lagi Umno dilihat lebih mengutamakan pembangunan berteraskan kebendaan.
"Kita kena berani berjuang menentang Umno, sebab perjuangan Umno adalah perjuangan sekular. Lebih-lebih lagi, Umno dilihat lebih mengutamakan pembangunan berteraskan kebendaan semata-mata.
"Tidak ada bezanya perjuangan Umno itu dengan perjuangan parti politik di Barat yang mementingkan pembangunan dan kemajuan semata-mata. Sebab itulah, perjuangan Umno mengasingkan prinsip agama dengan politik.
"Maka jadilah Umno sebagai parti sekular, iaitu sebuah parti yang mengamalkan politik suku, agama suku. Ia memberi makna, semacam kerja politik tiada kaitan dengan dosa dan pahala lagi.
"Sebab itulah ada pemimpin Umno berani melakukan segala amalan politik yang bercanggah dengan ajaran agama. Mereka mengamalkan politik wang, politik ugut dan politik paksa. Sedangkan kesemuanya itu bercanggah dengan ajaran Islam dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW.
"Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Menolak perjuangan Umno sudah pasti membebaskan diri kita daripada segala-gala amalan salah," kata Nik Aziz.
Nik Aziz berkata Zaid merupakan tokoh yang berwibawa dan seharusnya pengundi Hulu Selangor mengangkat suara beliau di Parlimen bagi mewakili mereka.
"Saya penuh yakin dan percaya di atas pengalamannya selaku bekas Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet, sesungguhnya beliau mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk membela dan menunaikan harapan rakyat di Parlimen Hulu Selangor. Keluarlah mengundi beramai-ramai, jangan hiraukan ugutan Umno-BN," nasihat Nik Aziz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan