Oleh Shaarani Ismail
Firma tunai kewajipan di Wilayah Persekutuan meningkat
KUALA LUMPUR: Hanya 33 peratus atau 1,302 daripada 3,954 syarikat yang layak menunaikan kewajipan berzakat di Wilayah Persekutuan manakala baki 67 peratus atau 2,652 lagi masih belum berbuat demikian, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman.
Bagaimanapun, katanya, jumlah syarikat yang membayar zakat bertambah iaitu daripada 1,169 syarikat pada 2008 kepada 1,302 bagi tahunan kewangan berakhir 2009 sehingga semalam.
“Jumlah itu pertambahan sebanyak 11 peratus berikutan kesedaran syarikat dalam melaksanakan kewajipan itu bagi membangunkan umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas cek pembayaran zakat daripada Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzzaman Che Mat dan Pengurus Besar Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ), Mohd Rais Alias.
Katanya, kebanyakan syarikat yang belum lagi membuat pembayaran zakat mungkin menunggu tempoh akhir atau sedang mengemaskini akaun masing-masing berdasarkan tahun dan bulan akaun ditutup.
“Kebanyakan syarikat berkenaan adalah syarikat yang layak untuk mengeluarkan zakat, berstatus halal dan mencukupi syarat yang diwajibkan untuk melakukan pembayaran zakat. Bagaimanapun kami optimis menjelang akhir tahun ini jumlah syarikat yang menunaikan kewajipan mereka akan bertambah, ” katanya.
Katanya, walaupun keadaan semasa ekonomi pada tahun lalu menunjukkan perkembangan yang kurang memberangsangkan, PPZ menyasarkan jumlah kutipan RM250 juta dan angka itu bukanlah sesuatu yang sukar dicapai berikutan aliran dan sambutan masyarakat yang semakin positif terhadap pembayaran zakat.
Pada majlis itu Kamaruzzaman menyerahkan bayaran zakat sebanyak RM2.77 juta bagi pihak Bank Rakyat kepada MAIWP berdasarkan kepada keuntungan operasi perniagaan 12 cawangan Bank Rakyat di Wilayah Persekutuan.
Bank Rakyat memperuntukkan sebanyak RM35.35 juta untuk diagihkan ke seluruh negara bagi pembayaran zakat bagi 2009 iaitu hasil daripada keuntungan yang diperoleh tahun lalu sebanyak RM1.55 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan