HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mei 2010

Afundi Najib

Oleh Haris Zalkapli


Selepas prestasi buruk Barisan Nasional pada pilihan raya 1999, Umno menubuhkan Pergerakan Puteri Umno untuk menarik sokongan wanita muda mendekati parti itu.

Selepas ditubuhkan, rata-rata pemimpin pembangkang memandang usaha itu dengan kritikal dan skeptikal. Ada yang melihat puteri Umno hanya disertai wanita muda untuk berseronok.

Tetapi, sejarah mencatatkan pergerakan itu mempunyai kepentingan tersendiri kepada Umno hingga hari ini. Bertentangan dengan PAS, parti ini kurang berjaya menggerakkan pergerakan wanita mudanya dengan berkesan menyamai puteri Umno.

Selepas 1998, Umno berdepan cabaran getir dalam menarik golongan muda untuk menyokongnya, malah mendekatinya. Walau bagaimanapun, parti itu meneruskan usaha menarik golongan muda melalui banyak cara, yang terbaharu dengan menubuhkan Pergerakan Putera Umno.

Dalam dunia siber yang selama ini dikuasai golongan muda yang sejumlah besarnya cenderung kepada parti-parti pembangkang, Umno juga mula menempatkan dirinya dengan lebih berkesan.

Menteri-menteri Umno yang selama ini mungkin tidak menyentuh komputer langsung mula berblog dan terlibat dengan Facebook, pada masa sama Umno juga mempunyai bahagian untuk menangani persaingan idea di internet.

Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menunjukkan perhatian kepada golongan belia, dengan mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia.

Semua ini mengambil kira pilihan raya umum akan datang, memandangkan golongan muda ketika ini kelihatan sangat kuat menyokong atau condong kepada pembangkang, terutama apabila diperhatikan kenyataan-kenyataan di Facebook.

Apapun, usaha Najib ini tidak boleh dipandang rendah, seperti pembangkang memandang rendah usaha menubuhkan puteri Umno dan tindakan-tindakan lain oleh parti pemerintah. Penilaian tentang orang muda sebagai bank undi pembangkang tidak boleh diiterima sebagai fakta yang mutlak.

Satu lagi tindakan berkaitan agenda memenangi hati dan minda golongan muda ialah perlantikan menteri belia dan sukan ekoran rombakan kabinet yang sedang dispekulasi kini. Sekiranya spekulasi menteri sekarang akan digugur benar, ahli Parlimen yang dilantik nanti pasti telah meyakinkan Najib tentang apa yang akan dilakukan nanti, dan apa yang diijangka boleh dicapai.

Dengan menteri-menteri yang semakin savy dengan Facebook, pasukan internet yang semakin berkesan dan kemungkinan menteri belia yang baharu, boleh dijangkakan usaha memenangi sokongan golongan muda oleh parti pemerintah sedang memasuki fasa baharu.

Tiada ulasan: