SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan di parlimen berhubung isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad di Tanjong Pagar yang akan berpindah ke Woodlands.
Ketua Penerangan AMK Mohd Ezli Mashut berkata Najib seolah-olah mudah ‘tunduk melutut’ kepada permintaan negara luar dalam isu hak dan kedaulatan negara yang bakal merugikan masa hadapan negara.
"Kita melihat seolah-olah Perdana Menteri tunduk dengan tekanan Singapura apabila dengan mudahnya sanggup bersetuju dengan perpindahan KTMB dari Tanjung Pagar ke Woodlands dengan beralasan tanah seluas 12 hektar (29.65 ekar) akan diserahkan kepada sebuah syarikat usahasama yang ekuitinya 60% Malaysia dan 40% Singapura.
"Luas asal tanah rezab KTM termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar adalah 200 hektar atau 494 ekar (mengikut Singapore Railway Transfer Ordinance 1918) dengan tempoh pajakan selama 999 tahun.
"Menjelang hujung tahun ini satu syarikat yang diberi nama M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan yang kononnya 60% milik Malaysia dan 40% milik Singapura," jelas Mohd Ezli.
Menurutnya, AMK turut mempersoalkan penubuhan syarikat ini berkenaan pegangan ekuiti tersebut di mana pada masa akan datang yang mudah dibeli oleh pihak Singapura kelak melalui Temasek Holdings Limited.
Tambahnya lagi, Malaysia sebelum ini sudah pun kehilangan hak kedaulatan Pulau Batu Putih dan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Woodlands.
" Kita melihat keputusan perpindahan KTMB ke Woodlands Train Checkpoint pada 1 Julai 2011 dan kemudian ke Johor menjelang 2018 adalah agenda terancang Singapura secara berperingkat ‘menghalau’ hak dan kedaulatan Malaysia yang bakal merugikan negara.
"AMK turut menggesa Najib memberi penjelasan di parlimen mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Singapura berhubung perkara yang dibincangkan.
"Kita tidak mahu media hanya mengumumkan perkara yang positif tetapi pada realitinya menenggelamkan isu yang penting berkenaan hak dan kedaulatan negara," tegas Mohd Ezli dalam kenyataan media yang dikeluarkan itu.
Justeru itu katanya, kegagalan Najib dalam membuat keputusan yang tepat menyebabkan negara akan mengalami kerugian besar di masa hadapan.
"Kita mahu hak dan kedaulatan negara tidak mudah tergadai kerana amanah dan tanggungjawab terletak di bahu semua rakyat Malaysia," ujar Mohd Ezli lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan