Oleh Jamilah Kamarudin
PETALING JAYA : Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 kini semakin dipertikaikan kewibawaannya sebagai undang-undang yang menyekat penuntut pengajian tinggi terlibat dalam isu dasar dan politik negara.
Malah, kewujudan AUKU kini dilihat hanya akan menggagalkan lagi usaha kerajaan mencapai agenda pendidikan maju dibawah Model Baru Ekonomi (NEM).
Merujuk kepada kes empat pelajar jurusan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan dihadapkan ke mahkamah UKM kerana didakwa terlibat dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor, Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusoff berkata isu itu menggambarkan bahawa kebebasan akademik negara ini masih lagi di tahap lama.
Katanya, AUKU dilihat tidak lagi relevan jika kewujudannya hanya sebagai penghalang kepada proses pendidikan berkualiti, sekaligus menggagalkan perkembangan tahap institusi pendidikan negara yang semakin merosot.
"Penuntut dan pendidik yang berani sifatnya dalam menyentuh isu negara dan politik adalah kunci utama kepada penghasilan modal insan yang berkualiti dan mampu menghasilkan kajian ilmiah yang berkualiti.
"Jika AUKU menjadi penghalang kepada proses ini dan pelajar serta pendidik dinafikan haknya, jadi bagaimana institusi pendidikan negara mahu berkembang maju setanding dengan negara jiran yang lain?," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.
Yusmadi berkata, sudah tiba masanya kedudukan penggubal dasar pendidikan dan AUKU dikaji semula memandangkan kedudukan institusi pengajian tinggi negara semakin jauh kebelakang berbanding dengan universiti di negara Asia yang lain terutamanya China, Jepun dan Singapura.
Ini dibuktikan apabila kedudukan Universiti Malaya (UM) dalam QS Asian University Rankings 2010 jatuh ke tangga 41 berbanding 39 tahun lalu, berbeza pada tahun 2004 apabila UM berada di tangga ke 10 universiti Asia.
Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) yang mendapat status Apex kekal di tangga 69, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kekal 82, dan UKM jatuh daripada 51 ke tangga 58.
Kualiti universiti tempatan jatuh
"Kejatuhan kedudukan kualiti universiti tempatan dalam Asia setiap tahun jelas membuktikan hasil kesan daripada perkembangan politik, kebebasan hak manusia, pentadbiran kerajaan dan kecemerlangan pendidikan negara yang tidak seimbang," katanya.
Oleh itu katanya, setiap akta yang bersikap menghalang dan merencatkan kebebasan bersuara perlu dikaji semula, dan ia perlu dibatalkan jika ia mengekang proses kecemerlangan akademi pelajar.
"AUKU merupakan ancaman kepada perkembangan proses pendidikan berkualiti dan ia perlu dimansuhkan, begitu juga dengan akta lain seperti Akta Penerbitan, Akta Polis dan sebagainya yang menghalang suara rakyat," katanya.
Berikutan itu, beliau menyatakan kesediaannya menawarkan khidmatnya sebagai peguam mewakili pelajar terbabit dan akan membangkitkan isu ini ke Parlimen pada Jun depan.
Sementara itu, Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu berkata, kerajaan perlu mansuhkan AUKU yang disifatkannya bertentangan dengan hak kebebasan manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Akta ini sudah lapuk. Malangnya pelaksanaan AUKU tidak menyeluruh kepada pelajar Malaysia yang belajar di luar negara, begitu juga pemantauan yang tidak menyeluruh dalam media baru," katanya kepada media semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan