HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Mei 2010

Banjir laut pasang

Zainuyah meninjau dapur rumahnya digenangi banjir setiap pagi dan petang.
Zainuyah meninjau dapur rumahnya digenangi banjir setiap pagi dan petang.
Rumah di Lorong Kalat digenangi air setiap pagi, petang


Oleh Abu Bakar Al Sidek


TELUK INTAN: Pembinaan ban tebatan banjir yang disifatkan umpama 'melepas batuk di tangga' menyebabkan masalah limpahan air Sungai Perak ke kawasan rumah dihuni hampir 100 penduduk di Lorong Kalat, Kampung Batak Rabit, di tebing sungai itu di sini, sejak 40 tahun lalu tidak selesai.

Penduduk mendakwa, cara pembinaan ban itu yang tinggi rendah dan tidak kukuh hingga sebahagiannya mendap, menyebabkan air sungai mudah melimpah masuk melalui ban itu ketika air laut pasang.

Limpahan berlaku bermula jam 5 pagi dan surut jam 10 pagi, manakala sebelah petang pula antara jam 6 petang dan surut menjelang jam 10 malam. Masalah itu berlaku setiap bulan.

Seorang penduduk, Shaharuddin Hamzah, 48, berkata ban yang dibina itu tidak sama tinggi iaitu 0.9 meter dan bahagian lain hanya 0.6 meter, manakala sebahagian lagi kawasan di tebing sungai itu langsung tiada benteng dibina.

"Sudahlah ban dibina tidak sama tinggi, kedudukan ban yang mempunyai ketinggian 0.6 meter pula mendap menjadikan ban itu lebih rendah parasnya hingga memudahkan air melimpah masuk.

"Inilah punca yang menyebabkan masalah banjir masih berlaku di kawasan kampung kami ketika air laut pasang," katanya di sini.

Shaharuddin berkata, beliau juga hairan mengapa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak membina ban tebatan banjir di sepanjang tebing sungai yang bersempadan dengan rumah penduduk sebaliknya hanya membina separuh daripadanya.

"Kami tidak berpuas hati kerana ban yang dibina tidak berkualiti. Kami mahu tahu adakah pembinaan ban tebatan banjir itu tidak mematuhi syarat ditetap JPS," katanya.

Beliau berkata, penduduk mahu JPS segera menyiasat keadaan itu termasuk risiko buruk dialami penduduk yang setiap bulan berdepan dengan banjir air pasang.

Seorang warga emas, Zainuyah Arshad, 84, berkata beliau tidak berani lagi tinggal di rumah pusakanya kerana bahagian dapur sudah roboh akibat hakisan tanah.

"Makcik takut rumah runtuh, jadi sekarang makcik tinggal bersama anak perempuan di Klang, Selangor.

"Rumah ini bila-bila masa saja boleh roboh kerana tapaknya dipenuhi tanah berlumpur," katanya.

Beliau yang pulang melihat rumahnya dilanda banjir turut mendakwa beberapa pokok buah-buahan dan pokok nipah yang ditanam di sekeliling rumah musnah.

Ketua kampung, Ramli Nin, 62, pula berkata, JPS menyediakan peruntukan RM300,000 bagi membina ban yang lebih tinggi untuk mencegah banjir daripada melimpah masuk ke kawasan rumah penduduk.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong, Anuar Sudin, melawat dan menyampaikan barangan makanan dan wang kepada beberapa keluarga yang menjadi mangsa banjir itu.

"Saya berharap semua pihak harus memainkan peranan untuk menangani ancaman banjir air pasang yang dialami penduduk Lorong Kalat sejak 40 tahun lalu," katanya.

Tiada ulasan: