
Dengan kerjasama : PACOS TRUST
KERAJAAN Negeri Sabah telah memberikan kelulusan pada Februari 2008 untuk menjalankan kajian kemungkinan dan mengemukakan cadangan teknikal untuk pelaksanaan projek empangan Kaiduan yang terletak di Ulu Papar, Sabah.
Dengan menggunakan nama yang sama, tetapi pada skala yang lebih kecil, telah disenaraikan sebagai salah satu dari 16 empangan yang dicadangkan di bawah ‘Perancangan Induk Pengurusan Sumber Air Sabah’ (WRMP).
Ini telah diumumkan pada 1990-an oleh Ketua Menteri pada masa itu, Datuk Osu Hj Sukam. Di bawah Pelan Pengurusan Sumber Air Sabah, satu Majlis Sumber Air akan diwujudkan untuk memberi nasihat kepada Menteri yang berkenaan dan juga menyelaras serta menyelia untuk memastikan sumber air di Sabah dirancang dan diurus secara wajar, cekap dan mapan. Walaubagaimanapun, Majlis ini belum diwujudkan secara formal, namun terdapat Majlis sementara di bawah Pejabat Hasil Bumi.
Proses yang telus dan betul
Kebimbangan timbul dari ketidaktelusan proses perlantikan WCT Bhd., (sebagai kontraktor) oleh kerajaan untuk mengendalikan projek Empangan Kaiduan. Ini ditambah lagi dengan perlantikan SMHB Sdn. Bhd. (sebagai pihak perunding) oleh WCT Bhd. untuk melaksanakan kajian feasibiliti awal. Majlis Sumber Air serta pemimpin, wakil rakyat dan agensi kerajaan yang berkaitan mendakwa bahawa mereka tidak diberitahu mengenai rancangan Projek Empangan Kaiduan.
Menurut SMHB Sdn. Bhd., kajian feasibiliti telah siap dan dikemukakan kepada Kerajaan Sabah pada awal 2008. Berasaskan hasil kajian tersebut, surat niat bersama dengan Kenyataan Keperluan telah dikeluarkan kepada WCT Bhd. pada 15 Mei 2009 yang meminta WCT Bhd. untuk melaksanakan kajian feasibiliti dan EIA yang lengkap dan menyediakan cadangan teknikal yang lengkap untuk pembinaan Empangan Kaiduan.
Mengikut sumber dalaman, kos menjalankan kajian feasibiliti dan kajian kesan alam sekita (EIA) yang lengkap ini dianggarkan sebanyak RM 7.6 juta dan dijangka akan mengambil masa 5 bulan. Tidak diketahui bahawa nilai ini telah dibayar kepada WCT Bhd. dan SMHB Sdn. Bhd.
Selepas itu, berasaskan kajian feasibiliti, WCT Bhd. telah menyediakan cadangan untuk membina Empangan Kaiduan dan mengazet kawasan tadahan air Kaiduan. Ini melibatkan kawasan seluas 350 KM persegi dan akan dilaksanakan serta-merta, dan 12km persegi akan ditenggelami.
Kawasan yang akan ditenggelami ini termasuk sekolah-sekolah rendah kerajaan, 3 buah taska komuniti, gereja, tempat perkuburan, dusun buah-buahan, penanaman sayuran dan padi, jambatan gantung dan gilingan padi.
Cadangan ini tidak menyebut lansung tentang kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar dan keperluan yang berkaitan pengurusan kawasan tadahan air mengikut Sekyen 34.1 Enakmen Sumber Air Sabah 1998.
Seperti yang telah diumumkan pada Mei 2009 oleh mantan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Raymond Tan, dilaporkan bahawa Empangan Kaiduan akan memastikan bekalan air yang mencukupi untuk Kota Kinabalu dan kawasan berdekatan sehingga 2050.
Tambahan pula, rancangan untuk membina Loji Perawatan Air Maang dan menaiktaraf dua loji yang sedia ada telah diluluskan oleh Kabinet Negeri Sabah pada 13 April 2009. Kos Empangan Kaiduan dan Loji Perawatan Air adalah RM 2.8 billion.
Setelah selesai dibina, adalah dianggarkan tambahan 1,200 juta litre air (MLD) sehari dapat dibekalkan kepada Kota Kinabalu. Empangan Kaiduan adalah 3 kali ganda lebih besar dari Empangan Babagon yang juga terletak di daerah Penampang. Empangan Kaiduan juga dijangka dapat menjana 37MW kuasa elektrik hidro.
Pada masa ini, bekalan air Sabah adalah 760 MLD. Dakwaan mengatakan Sabah memerlukan tambahan 1,200 MLD yang dinyatakan oleh WCT Bhd. masih tidak dapat dipastikan dan tiada justifikasi diberikan mengapa empangan mega seperti ini diperlukan.
Kurangnya data kajian untuk menjustifikasi dan ditambah lagi dengan pelbagai kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan yang dilaporkan dalam media tempatan, dimana salah satu laporan memetik kenyataan Menteri bahawa Empangan Kaiduan mampu membekalkan 20 MLD kepada Sabah.
Berdasarkan kenyataan Pengarah Jabatan Air Sabah, dibawah Rancangan Malaysia ke 9 (2006 -2010), jumlah bekalan air Sabah akan meningkat sehingga 1,180 MLD berbanding dengan 780 MLD sebelumnya.
Isu Kajian Feasibiliti
Di bawah WRMP, kawasan tadahan Empangan Kaiduan adalah seluas 233 hektar, tetapi ini telah diubahsuai kepada 320 hektar setelah kajian feasibiliti lengkap. Pindaan ini telah dibuat tanpa konsultasi/perundingan dengan pihak berkepentingan mahupun wakil rakyat Daerah Penampang dimana Empangan ini akan dibina.
Untuk membina Empangan Kaiduan, dijangka biomass dari 12 km persegi yang ditakung ini akan dibakar. Kemasukan beramai-ramai pekerja asing ke Daerah Penampang juga dijangka akan berlaku seperti kebanyakan projek pembinaan di Sabah.
Menurut SMHB Sdn. Bhd., Empangan Kaiduan akan diisi dengan batu dan mempunyai ketinggian 150m. Tiada maklumat di mana kontraktor akan mendapatkan sumber pembinaan empangan ini.
Sebuah kuari mungkin diperlukan dan ini juga memerlukan EIA dan kajian lain yang berkaitan, yang juga akan memerlukan pertimbangan dari segi kewangan dan sosio-ekonomi.
Menurut perunding, empangan ini akan disambungkan dengan sebuah terowong dengan diameter 3.75m untuk menyalurkan air ke Loji Perawatan Air yang dicadangkan di Kg. Maang. Terowong ini melalui 8 lagi perkampungan komuniti Orang Asal termasuk kampung Timpagoh, Sugud dan Limbanak yang padat dengan penduduk, sehingga sampai ke Kampung Maang.
Dari Maang, air ini akan disalurkan ke Lok Kawi kemudiannya disalurkan dengan paip air ke rumah-rumah di Penampang, Kota Kinabalu dan kawasan lain.
Memang tidak dapat disangkal/dipersoalkan lagi bahawa Kajian feasibiliti yang dijalankan hanya oleh SMHB Shn. Bhd. ini tidak ada konsultasi dengan pihak yang berkepentingan, dari wakil rakyat, pemimpin komuniti, komuniti yang mendapat kesan dan jabatan kerajaan yang berkaitan, semuanya tidak sedar / mengetahui perkara ini.
Tambahan pula, Kajian Fesibiliti tidak menyatakan sebarang bukti atau memberikan pertimbangan faktor kos kitar hayat empangan, penyelenggaraan yang diperlukan, analisa biaya dan Manfaat, Kajian Kesan Sosial, penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang, langkah-langkah pemantauan, dan langkah-langkah pengurangan (lipuran) kesan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku. Salinan Kajian Feasibiliti tidak diberikan kepada komuniti yang mendapat kesan mahupun wakil rakyat mereka.
Kajian Feasibiliti ini gagal membuat penilaian penyelesaiain alternatif/cara lain untuk bekalan air atau membuat kajian perbandingan sumber air yang ada di Sabah. Ia tidak mengambil kira kadar air tidak bernilai (Non-Revenue Water-NRW) yang tinggi di Sabah.
Dari 760 MLD yang dibekalkan di Sabah, pada puratanya, 67% hilang akibat kebocoran paip, kecurian, bahan serta pembinaan yang tidak baik. Usaha untuk menjalankan kempen penjimatan air seluruh negeri secara berterusan juga tidak pernah dijalankan.
Pada hujung tahun 2009, Kerajaan Persekutuan telah memberikan/ menganugerahkan kontrak untuk menjalankan kajian sumber air di seluruh negara.
Ini akan membawa kepada kajian semula Pelan Induk Sumber Air Kebangsaan yang membolehkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk merancang keperluan sumber air berdasarkan peta, demografik semasa dan analisa keperluan yang terbaru/dikemaskini. Ini adalah satu justifikasi yang kukuh untuk membekukan projek Empangan Kaiduan sehingga kajian semula di peringkat kebangsaan selesai.
Penempatan Semula Orang Asal secara Paksa
Sembilan komuniti yang mendapat kesan (Terian, Babagon Laut, Timpayasa, Tiku, Buayan, Pongobonon, Kalanggaan, Timpangoh dan Longkogungan) membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Bantahan Empangan Kaiduan pada bulan September 2009.
Jawatankuasa Bertindak mengatakan kerajaan tidak mendapatkan sebarang izin makluman awal, bebas dan telus dari komuniti dan tidak mempertimbangkan kesan alam sekitar dan sosial. Kerajaan Negeri seolah-olah tidak menghargai tanah, warisan dan kehidupan Orang Asal serta kepelbagaian biologi serta industri eko-pelancongan di kawasan yang telah sekian lama dipelihara oleh Orang Asal yang tinggal di kawasan ini.
Kesan penempatan semula seperti kehilangan tempat pemburuan dan pencarian ikan, perubahan jenis tanah tidak dipertimbangkan dan kemungkinan mereka akan dipindahkan secara paksa ke tempat lain tanpa sebarang pampasan.
Pergerakan bantahan Empangan Kaiduan menerima sokongan dari organisasi, komuniti dan pemimpin politik. Jawatankuasa ini juga telah mula mengadakan kempen awam untuk membantah empangan.
Menurut data GDF, sebuah organisasi yang bekerja di kawasan ini, dianggarkan 1,400 Orang Asal yang tinggal di perkampungan Ulu Papar. Kebanyakan perkampungan ini termasuk dalam kawasan simpan tadahan air yang dicadangkan.
Mereka adalah petani sara diri yang bergantung kepada padi huma/bukit, binatang dan ikan air tawar, dan memungut hasil hutan untuk keperluan harian. Setelah bergenerasi tinggal di tanah nenek moyang, mereka terus menjadikan kawasan yang penuh sejarah dan indah ini kepada kawasan yang hidup dengan kekayaan budaya dan memulihara kepelbagaian tumbuhan dan binatang, yang juga memberikan mereka sumber makanan, ubatan dan sumber lain yang mereka perlukan.
Latar Belakang Kampung dan Taman Banjaran Crocker
Perkampungan ini terletak di pinggir kawasan Taman Banjaran Crocker. sememangnya telah lama dikenali dan diiktiraf sebagai pusat utama kepelbagaian tumbuhan dan ianya dalam WWF Global 200 ekoregion yang diberikan keutamaan tinggi.
Banjaran Crocker telah mula-mula dijadikan kawasan perlindungan hutan pada tahun 1968 dan kemudiannya ditukar kepada Taman Negara Banjaran Crocker pada tahun 1984 untuk memelihara kawasan tadahan air dan biodiversiti. Ia kemudiannya dinamakan Taman Banjaran Crocker pada tahun 1996 dan diuruskan oleh Taman-Taman Sabah, dibawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Walaupun tanah nenek moyang mereka yang luas telah dimasukkan ke dalam Taman Banjaran Crocker, namun komuniti telah berganding bahu dengan pihak Taman-Taman Sabah dan agensi kerajaan yang lain untuk mengurus bersama dan melindungi kawasan ini.
Pada tahun 2009, Kerajaan Negeri Sabah telah lancarkan inisiatif untuk mencalonkan Crocker Range Biosphere Reserve dibawah program Man and the Biosphere (MAB) United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization’s (UNESCO).
Pada awal Disember 2009, Ketua JKKK Kampung Buayan, Albert Sipanis Lojima telah membuat satu laporan polis apabila beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Bantahan Empangan Kaiduan, Nousi Giun telah diintip/diekori oleh dua orang yang tidak dikenali.
Nasihat dari Amnesty International Malaysia telah diminta berkaitan dengan hak komuniti dan aktivis yang terlibat dalam pergerakan membantah projek Empangan Kaiduan dan mungkin berdepan dengan ugutan dan gertakan.
Komuniti berada dalam keadaan takut untuk menghadapi kemungkinan gertakan dan ugutan pihak pemaju projek. Komuniti juga tidak tahu perkembangan siasatan rasmi laporan polis yang telah dibuat oleh Albert.
Dalam cadangan WCT Bhd., mereka menyatakan bahawa peranan kerajaan adalah untuk memastikan penduduk yang mendapat kesan empangan menerima pampasan yang sewajarnya dan penempatan semula dijalankan secara betul.
Walaubagaimanapun, belum ada bukti menyatakan kos pampasan serta penempatan semula telah dirangka. Mengikut rekod lama, Mantan Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee mengatakan kerajaan gagal memberikan pampasan yang wajar serta penempatan semula penduduk yang mendapat kesan dari projek pembangunan kerajaan. Peringatan bahawa prosedur kerajaan memberikan pampasan tidak mengambilkira strategi kehidupan Orang Asal yang merangkumi sistem sosio-ekonomi mereka.
Penempatan semula lebih 1,000 penduduk memerlukan proses yang panjang dan menelan belanja yang besar serta memberikan kesan kewangan yang tinggi kepada kerajaan.
Apabila ditanya oleh wakil komuniti semasa pembentangan SMHB Sdn. Bhd. pada Oktober 2009 di Pejabat Daerah Penampang, perunding tersebut tidak dapat memberikan maklumat terperinci mengenai lokasi penempatan semula, kecuali dinyatakan bahawa ianya terletak di kawasan Daerah Penampang. Penampang telah mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Berdasarkan pengalaman Empangan Babagon, komuniti yang telah ditempatkan semula telah menerima lebih tekanan dari segi sosial, ekonomi, budaya dan psikologi serta kesan kualiti kehidupan mereka.
Masalah penyalahgunaan alkohol, kesalahan jenayah seperti rogol, kecurian dan pecah rumah juga berlaku di kalangan komuniti yang telah ditempatkan semula. Kemudahan tidak mencukupi ditambah lagi dengan pendapatan rendah, menjadikan komuniti ini semakin terpinggir.
Kajian feasibiliti telah gagal menyebut/mengambilkira masa, kewangan dan sosio-ekonomi penempatan semula dan sebarang bentuk pampasan yang wajar atas kehilangan tanah adat, keharmonian, pokok buah-buahan, kawasan penanaman padi, sungai, hutan dan kehidupan tradisi komuniti yang terlibat.
Pertimbangan ini perlu untuk memastikan kesinambungan kehidupan komuniti dan generasi akan dating yang menyeluruh dan mapan, dengan nilai-nilai serta konsep pembangunan Orang Asal yang merangkumi ketulusan budaya dan persekitaran, kemapanan alam sekitar, kelengkapan ekonomi dan kesihatan serta keberdayaan komuniti dan pentadbiran sendiri.
Dalam membuat keputusan melaksanakan Empangan Kaiduan, kerajaan telah gagal memenuhi komitmennya terhadap Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Terhadap Hak-hak Orang Asal. Perkara 10 menyebut:
“Orang Asal tidak boleh dipindahkan secara paksa daripada tanah atau wilayah mereka. Tidak boleh ada penempatan semula boleh berlaku tanpa izin, makluman awal, bebas dan telus dari Orang Asal yang terlibat, dan selepas persetujuan dalam memperolehi pampasan yang adil dan saksama...”.
Dalam hal ini, kerajaan telah gagal mencapai kewajiban penglibatan, konsultasi dan izin dalam melaksanakan pelan pembangunan yang dilaksanakan di kawasan Orang Asal. Kerajaan diseru untuk merujuk kepada prinsip dan panduan asas pembangunan yang melibatkan penempatan semula dan pengusiran seperti yang dibentangkan dalam laporan yang dikeluarkan pada Februari 2007 oleh ‘UN Special Rapporteur on the right to adequate housing’. Panduan yang berasaskan undang-undang antarabangsa hak asasi manusia ini, memberikan panduan berkenaan piawaian yang perlu diikuti ketika pengusiran berlaku.
Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA)
Pada 8 Februari 2010, Sembilan wakil dari Envsolve Sdn. Bhd. (perunding swasta yang dilantik oleh WCT Bhd. untuk menjalankan EIA) dan 2 wakil dari Pejabat Daerah Penampang telah bertemu dengan penduduk di Kampung Terian.
Menurut Envsolve Sdn. Bhd. tujuan lawatan mereka adalah untuk menjalankan EIA. Perjumpaan antara Envsolve Sdn. Bhd. dan penduduk Terian bermula dengan penjelasan yang tidak lengkap serta maklumat yang mengelirukan tentang identiti mereka, tujuan kajian serta maklumat berkenaan dengan penyelidik.
Borang soal selidik yang diedarkan kepada komuniti menyatakan kajian tersebut adalah kajian kesan sosial. Walaubagaimanapun, wakil dari Envsolve Sdn. Bhd. memberitahu penduduk bahawa tujuan kajian adalah untuk EIA.
Komuniti mendapati/mengamati penyelidik Envsolve Sdn. Bhd. telah beberapa kali gagal untuk menterjemahkan jawapan yang diberikan oleh penduduk dan tidak mencatatkan dengan betul dalam borang soal selidik.
Komuniti juga melahirkan rasa bimbang mengenai masaalah jurang bahasa yang mungkin memberikan kesan ke atas ketidak tepatan kajian yang seterusnya membawa kepada hasil kajian yang boleh diragui. Pada masa yang sama, didedahkan bahawa tiada kajian selari atau perbandingan akan dijalankan di Kampung Longkogungan, Kalanggaan dan Pongobonon, yang terletak jauh di hulu Sungai Papar.
Komuniti berasa amat bimbang akan hak asasi manusia yang akan tergugat dalam perancangan dan pelaksanaan Projek Empangan Kaiduan. Kekurangan maklumat yang lengkap, tepat, mudah diperolehi serta tidak berat sebelah; kekurangan peluang untuk terlibat secara sewajarnya dalam membentuk pelan empangan ini dan pengurangan kesan sosial empangan; Manipulasi data oleh pihak pelaksana; Risiko kemungkinan pemindahan penduduk yang kemungkinan akan mengakibatkan pengusiran besar-besaran.
Komuniti berharap kerajaan menghentikan Projek Empangan Kaiduan dan pembinaan infrastruktur yang berkaitan, dan mempertimbangkan serta mengambilkira isu hak asasi manusia termasuk soal budaya, ekonomi, sosial dan alam sekitar yang berkaitan dengan projek ini.
Ini ternyata memerlukan proses konsultasi yang lebih baik berkenaan dengan projek pembangunan, penglibatan yang sewajarnya dari masyarakat, dan mengambil langkah termasuk perundangan, untuk memastikan perlindungan yang sewajarnya diberikan untuk mencegah pengusiran dan pelanggaran hak asasi manusia dalam pelaksanaan projek ini dan yang berkaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan