HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Mei 2010

DPMM dakwa DEB gagal, mahukan keutamaan MEB


KUALA LUMPUR— Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mahu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak meningkatkan penyertaan Bumiputera di bawah Model Ekonomi Baru (MEB) selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai sasarannya.

Presidennya Syed Ali Alattas berkata NEP yang diperkenalkan pada 1971 hanya berjaya mengatasi kemiskinan di kalangan majoriti Bumiputera bukannya dalam melaksanakan dasar tindakan afirmatif.

Justeru beliau mahu Perdana Menteri mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan di bawah MEB.

Syor-syor DPMM untuk dijadikan input MEB akan dibentangkan pada konvensyen pihaknya pada 14 Mei ini, kata beliau.

Najib dijadual merasmikan konvensyen itu.

“Kami menyokong liberalisasi dari sudut antarabangsa tetapi di peringkat nasional, DEB sudah terlalu liberal di mana kami hanya mendapat 10 peratus (ekuiti Bumiputera), jadi (di bawah MEB) perlu ada lebih banyak penyertaan,” kata beliau pada sidang media di sini.

“Perdana Menteri perlu menangani perkara ini,” kata Syed Ali sambil menambah MEB harus membantu kaum Bumiputera.

“Kira-kira 45 peratus (Bumiputera) berada di paras rendah (bawah pendapatan tinggi), jadi beliau perlu menyertakan mereka bersama,” katanya dengan merujuk kepada usaha mengubah Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Syed Ali berkata kerajaan telah menggesa pekerja dan ahli perniagaan Bumiputera supaya berdaya saing dengan ekonomi global yang sangat kompetitif dengan meningkatkan produktiviti tetapi ia bukan sesuatu yang mudah.

“Sebagai contoh ambil industri pengeluaran. Ia adalah industri yang tua, berada di sini sejak 1965.

“Pada kadar semasa, kadar produktiviti adalah terlalu rendah dan kerajaan berkata anda mesti meningkatkan produktiviti untuk pendapatan tinggi.

“Tetapi untuk meningkatkan produktiviti ia berintensifkan modal, teknologi baru tetapi kita tiada punca untuk meningkatkan produktiviti,” katanya.

Tiada ulasan: