HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mei 2010

Gamis lancar petisyen online desak UKM gugur tuduhan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) melancarkan petisyen online untuk mengutip 10,000 tandatangan sebagai referendum mendesak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) segera menggugurkan tuduhan terhadap empat pelajar sains politiknya yang ditahan di Hulu Selangor bulan lalu.

Petisyen itu juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi meminta agar pelajar-pelajar itu yang didakwa membantu parti politik berkempen di Hulu Selangor dibebaskan.

Presiden Gamis Mohd Idris Mohd Yusoff berkata, referendum ini ditujukan kepada pentadbiran UKM dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membuktikan suara bantahan daripada mahasiswa seluruh kampus yang menentang tindakan menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terhadap mahasiswa.

“Gamis berharap kes ini merupakan kes yang terakhir di Malaysia dan meminta segera dimansuhkan AUKU yang menyekat dan menindas kebebasan mahasiswa.

“Akta ini tidak lagi relevan kepada mahasiswa dan mencemarkan universiti sebagai pusat kebebasan aktiviti dan akademik serta sebagai sebuah gedung ilmu,” kata Mohd Idris dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini.

Empat pelajar jurusan sains politik terbabit ditahan ketika kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah UKM secara berasingan pads 2 dan 3 Jun ini.

Mohd Idris berkata, Gamis bersama barisan-barisan mahasiswa yang lain melancarkan kempen petisyen online dan kutipan 10,000 tandatangan sebagai referendum mendesak agar segera UKM menggugurkan tuduhan ke atas mereka.

Katanya, petisyen online tersebut boleh dilayari melalui pautan ini.

Tiada ulasan: