HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Mei 2010

JPKAS GAGAL ATASI MASALAH PEMINTA SEDEKAH

SEDEKAH....Haji Andi menyifatkan JPKAS lembap atasi isu pengemis jalanan berleluasa di sana-sini. Salah seorang wanita asing bersama anaknya duduk di deretan kedai sambil menadah tangan minta sedekah. Siapa yang harus dipersalahkan?.

Oleh: MASTOPO SUMARJO


SEJAK kebelakangan ini, jumlah pengemis ataupun yang dipanggil peminta sedekah di kaki lima pusat bandar Sandakan semakin bertambah ramai dari sehari ke sehari; seolah-olah telah menawan ‘keprihatinan’ warga Sandakan dengan pelbagai aksi yang meruntun hati.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan Bugis Sabah cawangan Sandakan (PPKB), Haji Andi Zakaria Palawong, kebanyakan mereka yang terlibat dalam aktiviti meminta sedekah itu adalah terdiri daripada rakyat asing dari Filipina.

“Yang menghairankan saya, kenapa pihak Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) tidak mengambil sebarang langkah untuk membanteras gejala yang kurang sihat itu, seolah-olah jabatan berkenaan menggalakan untuk mereka berbuat demikian,” dakwa Haji Andi Zakaria lagi.

Kata Haji Andi Zakaria, walaupun Malaysia sudah merdeka 53 tahun (47 tahun dalam konteks Sabah), namun ‘daki kemiskinan’ jelas terpampang di ruang mata apabila para peminta sedekah terkinja-kinja mengejar pelancong atau pengunjung daerah yang pernah kaya dengan balak ini meminta wang atau apa sahaja sehingga mencacatkan imej pelancongan Malaysia.

Semiskin-miskin atau semelarat-laratnya rakyat jati Sabah, walaupun mereka tinggal terpencil khususnya di pedalaman, kata Andi Zakaria, beliau tidak pernah melihat mereka duduk meminta sedekah di kaki-kali lima kerana masih bermaruah, berbanding rakyat asing yang bukan sahaja memasuki negeri ini secara tidak sah, malah mencemarkan imej Sabah di mata dunia.

Kata Haji Andi Zakaria lagi, JPKAS sewajarnya mengerahkan pegawainya bersama dengan agensi penguatkuasa lain membersihkan kaki lima di Sabah daripada dicemari peminta sedekah dan kanak-kanak jalanan.

“Pengarah JPKAS boleh meminta bantuan daripada anggota Polis, Unit Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk membuat tangkapan; bukan makan gaji buta dan membiarkan isu kemelaratan ini berterusan mencederakan imej Sabah,” tegas Haji Andi Zakaria yang kelihatan agak berang dengan sikap cuai JPKAS.

Kata Haji Andi Zakaria, jika pengemis tadi adalah orang asing, tangkap dan hantar balik ke negara asal mereka. Kalau ada orang tempatan yang terlibat dalam aktiviti tersebut tangkap mereka hantar ke rumah kebajikan atau pusat pemulihan.

“Saya amat kesal kerana terdapat beberapa agensi-agensi kerajaan terlalu lembab dalam memantau sesuatu perkara serius seperti gejala meminta sedekah ini adalah di bawah kawalan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diwakili JPKAS di Sabah;” ujar Haji Andi Zakaria yang menggesa agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) segera ditubuhkan di Sabah kerana JPKAS bagaikan ‘itik tempang’.

Sementara itu, Haji Andi Zakaria turut kesal kerana gejala maksiat dan seks bebas di kalangan pelajar sekolah menengah di setiap taman peranginan semakin berleluasa kerana Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) enggan melakukan sebarang langkah pencegahan atau penguatkuasaan undang-undang.

“Sekiranya ibubapa terlalu membiarkan anak-anak perempuan mereka keluar saban malam kawalan, pada tahun 2013 daerah Sandakan nanti bakal jadi pusat terbesar pembuangan anak-anak luar nikah di tong-tong sampah mahupun di belukar-belukar,” ujar Haji Andi Zakaria membayangkan kerisauan yang amat sangat terhadap kebejatan moral di kalangan pelajar.

Apa tidaknya, kata Haji Andi Zakaria, anak-anak gadis sekarang begitu mudah menyerahkan tubuh badan mereka kepada pasangan masing-masing, kononnya atas dasar cinta tanpa memikirkan implikasinya.

Paling aneh, kata Haji Andi Zakaria lagi, walaupun terlalu banyak masjid dan surau dibina di setiap mahupun di taman-taman perumahan, tetapi indeks maksiat dan kebejatan moral di kalangan umat Islam semakin meningkat.

“Sandakan kini sudah seperti negara barat. Walaupun perempuan Islam berpakaian sopan (bertudung) tetapi membuat maksiat secara terang-terangan. Cuba anda pergi ke Jalan Pantai berhampiran dengan pangkalan Navy. Mereka melakukan maksiat secara terbuka sehingga kaum Cina pun hairan,” kata Haji Andi Zakaria yang meminta ibu bapa memantau kegiatan liar anak mereka sebelum terlambat.

Bagi pihak Persatuan Kebajikan Bugis Sabah (PPBS), kata Haji Andi Zakaria, sekiranya anggota-anggota polis peronda yang terbaca artikel ini agar menangkap sesiapa sahaja yang melakukan maksiat secara terbuka; hatta anggota polis atau tentera sekalipun, agar dapat diserahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Tuhan turunkan bala tidak mengira tempat. Sama ada kita melakukannya atau tidak, kita akan turut terkena tempias atau kisas kerana membiarkan maksiat dan kemungkaran berleluasa,” rayu Haji Andi Zakaria yang menggesa agar Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) turut memainkan peranan penting memulihkan golongan yang terlanjur dengan menganjurkan lebih banyak kursus dan program yang menjurus kepada pemantapan belia dan meningkatkan kualiti diri.

11 ulasan:

tombolo berkata...

peminta sedekah semakin banyak di Sabah, bukan sahaja di Sandakan, Malah di kota Kinabalu dan daerah lain juga berlaku. hal ini menganggu pandangan dan menjejaskan imej negeri kita. hal ini haruslah diselesaikan dengan segera.

POP berkata...

Betul!! Pendatang asing hantar mereka pulang, orang tempatan mesti dibantu. Jika tidak, mencemarkan nama Sabah saja!!! Memang tidak malu orang sekarang membuat seks secara terbuka....dunia sudah berubah.

pagardawai berkata...

saya ada kawan dari UK yang melancong di Sabah dan mereka bertanya kepada saya kenapa ramai orang di negeri ini jadi peminta sedekah. Paling ramai membawa anak kecil..so saya rasa amat malu dan cuba terangkan kepada mereka yang orang-orang tersebut bukanlah orang tempatan dan sekali lagi mereka hairan kenapa tiada pemantauan pihak berkuasa kalau mereka tu pti...so jelas peminta sedekah ni merosakkan imej negeri sabah.

hulubalang berkata...

wajarlah JPKAS memantau masalah pti meminta sedekah ini..sebelum sesuatu yang mencemarkan imej negeri kita berlaku

Tanpa Nama berkata...

pemintah sedekah ni kebaykannya terdiri daripada orang asing. para pelancong akan menyangka yang mengemis tu adalah rakyat tempatan. mereka ni memang mencemarkan imej negeri sabah sahaja. kerajaan hars pantau peminta sedekah ni. tangkap ja dorang ni.

somboi berkata...

peminta sedekah ni patut ditangkap, bikin rosak imej sabah ja. pasal masalah remaja sekarang ni. dorang ni sosial sangat. ibu bapa patut pantau anak2 dorang ni. pihak berwajib patut tangkap ja remaja yang wat maksiat terang-terangan ni.. masalah sosial seperti ni harus dibendung dengan segera. didikan agama dan nilai murni amat penting.

jack berkata...

peminta sedekah dan kanak2 jalanan di bandar2/pekan2 di sabah harus ditangani segera..mereka2 nin adalah PTI...tangkap dan hantar mereka balik..undang2 dan peraturan harus diperketatkan lagi..pemantauan secara harian dan langkah pencegahan yang efektif harus dilakukan...bersihkan imej sabah di mata dunia..

Paquin berkata...

Tak dinafikan memang ramai peminta sedekah di sabah ni... Yang paling tak best tu time makan pun dorang p di meja minta duit dengan muka yang minta kesian.. huhu

Paquin berkata...

Betul tu laksamana. Hal ni agak menjejaskan nama baik sabah..
aduii memang patut pun isu pati ni diselesaiakan segera. Kalau pati takda, takda jugalah timbul hal2 minta sedekah ni. huhuhu

Paquin berkata...

Isu pasal maksiat tu pula, hhmmm tepuk dada tanya seleralah..
sendiri mau ingat, kalau ada maruah - pandai juga tu jaga diri (lain cerita kalau kes rogol tapa rela la).
Apapaun memang langkah pencegahan & pemantauan mmg perlu dibuat jugalah supaya hal ni tak melarat.

Paquin berkata...

OO ya rasanya hal ni perlu kerjasama ramai pihak juga ba.. Takkan mau salahkan JPKAS pula kan..
lain cerita la kalau peminta sedekah tu org kita - konpom akau pun mengamuk sama JPKAS. hehhee