Bahagian Pertama
SHAH ALAM: Perkembangan penjualan arak di negara ini cukup pesat, lebih sekali ganda daripada pertumbuhan kepadatan penduduk, kata Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud.
"Biarpun bilangan rakyat cuma 26 juta tapi Malaysia adalah antara 10 negara tertinggi dalam aspek pengambilan arak di dunia," katanya kepada Free Malaysia Today.
Menurut beliau, rakyat negara ini membelanjakan sebanyak USD500 juta iaitu lebih kurang RM1.75 bilion bagi pembelian minuman keras.
"Penjualan bir berkembang di antara 5 hingga 7 peratus setahun melebihi kadar pertumbuhan penduduk iaitu 2.4 peratus," katanya.
Dr Mariah percaya keadaan ini berlaku berikutan penggubalan undang-undang berkaitan penjualan arak terlalu longgar, apatah lagi penegasan terhadap sistem perundangannya pula lemah.
Kesal kerana kerajaan pemerintah mengabaikan aspek ini dan tidak pernah membentang penyelesaian konkrit, beliau menegaskan, berleluasanya arak ini juga tidak disenangi masyarakat bukan Islam.
Ini kerana pengharaman arak tidak bercanggah dengan agama-agama besar besar di dunia. Namun ia hanya bercanggah kehendak nafsu individu terbabit.
Agama Buddha, Hindu tolak minum arak
"Kajian saya mendapati, rukun agama Buddha yang ke-8 dengan menyatakan "Buddhists should abstain from liquor". Ia jelas penganut agama Buddha juga menolak penjualan arak sebagai sumber pendapatan.
"Malah dalam agama Hindu seorang negarawan Hindu Thiruvalluvar berkata mereka yang meminum arak tidak beza dengan mereka yang meminum racun, maka mereka tiada bezanya dengan orang yang sudah mati," kata beliau.
Menurut Dr Mariah, beliau tidak mencadangkan pengharaman secara terus, tetapi kerajaan perlu menyemak semula undang-undang bagi memastikan masalah arak tidak begitu berleluasa.
"Saya tidak berhasrat untuk mencadangkan yang arak diharamkan terus di Malaysia kerana hak bangsa-bangsa lain perlu diberi pertimbangan.
"Walaupun kesemua agama lain sependapat dengan Islam yang arak tidak baik untuk penganut mereka ianya setakat nasihat dan bukan hukum atau larangan mutlak seperti dalam agama kita," katanya.
Maka beliau menggesa kerajaan memandang serius perkara ini dengan menyelaraskan sistem perundangan agar lebih menepati hukum Islam.
Ia bagi melindungi umat Islam daripada terus terjebak ke dalam kancah arak ini.
Menurut beliau, kelemahan sistem perundangan adalah faktor utama dengan wujudnya ketidakseragaman antara undang-undang sivil dan enakmen syariah.
Akta Eksais diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dan di bawah Seksyen 32 (1) (a) dan (b), kerajaan pusat menetapkan penjualan runcit bir tidak memerlukan lesen begitu juga Bumiputera Sabah boleh menjual apa-apa liquor bumiputera (rice wain).
"Ini bermakna ekses untuk mendapatkan arak begitu mudah dan boleh didapati di mana-mana sahaja. Bukan setakat di 7 Eleven malah di kedai-kedai kecil."
"Lebih membimbangkan kerana wujud penglibatan orang Islam dalam industri pekerjaan membabitkan arak ini," katanya.
Malah beliau turut menimbulkan persoalan ekoran dalam akta eksais juga dinyatakan bahawa "tiada apa-apa peraturan dalam akta eksais yang mengatakan ia tidak boleh dijual kepada orang Islam".
Penguatkuasaan kita lemah
"Maka saya mempersoalkan hal ini dalam parlimen dulu. Kita tanya setakat mana penguatkuasaan? Kerana persoalannya mudah, pertama ia senang didapati dan kedua kerana penguatkuasaan kita lemah," tegas beliau.
Walhal dalam Seksyen 19(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1977 Akta 559 jelas menyatakan mana-mana orang Islam di kedai, tempat-tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan boleh disabitkan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya.
"Jelas dalam undang-undang syariah menjadikan kesalahan kepada orang Islam yang terbabit dalam membuat, menjual, menawar, mempamer, menyimpan atau membeli arak.
"Disebabkan ketiadaan penyelarasan antara undang-undang sivil dan syariah maka undang-undang Islam ini ditertawakan dan dimomokkan.
"Kerajaan pusat beri alasan kerana undang-undang syariah di bawah kuasa negeri. Jangan beri alasan bahawa undang-undang syariah di bawah JAIS dan JAKIM, kerana penting bagi kerajaan pusat selaraskan perundangan agar undang-undang sivil perlu selari dengan undang-undang syariah," katanya.
Penyelarasan dan pindaan yang sewajarnya dibuat, agar sebarang penglibatan orang Islam dalam industri arak ini dapat dikuatkuasakan dengan lebih ketat.
"Penting sama ada meminta akta eksais kerana dengan penyelarasan tersebut orang Islam bukan sahaja tidak boleh minum arak malah tidak boleh terlibat dengan industri arak atau mempunyai saham dalam syarikat arak," kata beliau.
1 ulasan:
kenapa kita tak boleh buat mcm brunei? pelik betui
Catat Ulasan