HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Mei 2010

Judi Halal Judi Haram, Perbuatan SYAITAN!!

Oleh secjdm3p044


"Dalam keghairahan rakyat Malaysia menyambut ketibaan kejohanan bolasepak Piala Dunia tidak lama lagi, rakyat, khususnya yang beragama Islam dikejutkan dengan satu ‘produk halal’ yang bakal muncul memeriahkan lagi temasya sukan empat tahun sekali itu.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan (judi) dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa. “Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak,” ujarnya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Ramai yang terkejut dan beristighfar panjang dengan kenyataan ini, namun belum pun reda kejutan ini, dua hari lepas (12 Mei) akhbar berbahasa Cina, Sin Chew, melaporkan menteri kewangan secara rasminya telah memberi lesen judi itu kepada Kumpulan Berjaya.

Sin Chew melaporkan pertaruhan secara sah itu boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak itu bermula pada 11 Jun ini. Perjudian itu boleh dilakukan melalui lebih 2000 kedai pertaruhan Toto yang dimiliki kumpulan itu [harakahdaily.net].

Nah, inilah hadiah dari seorang pemimpin 1Malaysia kepada rakyat, khususnya kepada tauke judi dan kaki-kaki judi seluruh negara! Ternyata cogankata “pencapaian diutamakan” bukanlah suatu yang sia-sia di mana mungkin ‘judi halal’ ini adalah salah satu pencapaian terbesar yang bakal diraih Malaysia yang tidak pernah di lakukan oleh negara-negara umat Islam lainnya.

Bagi mereka yang sudah lama menyelami politik tanahair, judi halal yang diumumkan kerajaan ini, walaupun memeranjatkan tetapi bukanlah suatu yang baru. Di Malaysia, semua benda haram boleh jadi halal hanya dengan diberi sejenis pengiktirafan yang dipanggil lesen. ‘Judi berlesen’ telah lama dihalalkan di Malaysia.

Siapa tidak tahu kasino Genting, kasino Bukit Tinggi, Magnum, Tanjung, Metroplex, Resort World Berjaya Group dan banyak lagi? Kesemua ini merupakan syarikat besar judi yang beroperasi secara ‘sah’ di Malaysia.

Di samping musim orang gila bola ini, kini ada satu lagi kegilaan yang dibenarkan oleh kerajaan untuk digilai iaitu gila judi. Segalanya dah jadi gila! Sungguh dangkal dan menjijikkan alasan yang diberi oleh seorang menteri, membenarkan judi hanya kerana khuatir jika tidak dibenarkan, judi tidak dapat dibendung. Kemudian ditambah dengan alasan haram lainnya iaitu keuntungan darinya dapat digunakan untuk pembangunan sukan.

Dengan alasan yang sama, agaknya Pak Menteri akan menghalalkan perzinaan dan pelacuran jika perzinaan dan pelacuran sudah tidak dapat dibendung.

Pak Menteri juga mungkin akan menghalalkan arak dan dadah yang sememangnya sudah tidak dapat dibendung lagi selama ini. Begitu juga dengan mencuri, merompak, merempit, buang bayi, membunuh, murtad dan sebagainya, semua ini boleh dihalalkan jika khuatir sudah tidak dapat dibendung lagi! Alasan apakah ini!? Inilah pemikiran yang ada dalam kepala pemimpin-pemimpin sekular yang ada pada hari ini.

Mereka adalah dari jenis makhluk yang tidak pernah memerhatikan hukum Allah dalam membuat keputusan. Kepala mereka dipenuhi najis pemikiran Kapitalis yang hanya tahu berfikir untuk mendapatkan keuntungan dari setiap perbuatan, tanpa mengambil kira aspek halal-haram.

Menghalalkan Yang Haram Kerana Maslahat Dan Hukumnya

Di dalam Islam, keharaman judi adalah qat’ie. Ia disebut dengan jelas oleh Allah di dalam Al-Quran melalui firmanNya,

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib (dengan panah) adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beroleh keuntungan” [TMQ al-Ma’idah (5):90].

Dari perkembangan terbaru ini, nampaknya Menteri Malaysia begitu berani melawan ayat-ayat Allah dengan menghalalkan apa yang Allah telah haramkan. Mereka betul-betul telah menjadikan syaitan sebagai kawan dan mendustakan ayat Allah dengan perbuatan terkutuk mereka ini. Firman Allah,

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung” [TMQ an-Nahl (16):116].

Apakah pemimpin Malaysia begitu bodoh hingga tidak memahami ayat-ayat Allah yang qat’ie? Atau mereka tidak peduli dengan semua itu kerana merasakan merekalah pembuat undang-undang yang lebih hebat dari Allah? Nampaknya pemikiran bathil ini telah menyatu dan mendarah daging di dalam diri mereka sehingga mereka sanggup mengeluarkan hukum yang bertentangan dengan Al-Quran.

Mereka telah menjadikan akal dan hawa nafsu mereka sebagai ‘penimbang’ untuk menilai mana yang manfaat dan mana yang mudarat, lalu mengeluarkan hukum mengikut manfaat yang mereka fikirkan. Inilah cara berfikir mereka, apabila manfaat suatu perbuatan jauh lebih besar dari mudaratnya, maka perbuatan itu mesti dikerjakan.

Dan jika mudaratnya lebih besar dari manfaatnya, maka menurut akal mereka, perbuatan itu mesti ditinggalkan. Inilah apa yang mereka lakukan dan kita sedang menyaksikannya. Walaupun begitu jelas bahawa maslahat yang mereka fikirkan itu berlawanan dengan hukum syarak, namun hukum syarak mereka tinggalkan dan ‘hukum maslahat’ mereka ambil sebagai ganti.

Mereka sesungguhnya telah memposisikan diri mereka sebagai Musyarri’ (Pembuat Hukum) kerana telah menghalalkan yang haram mengikut sesuka mereka berdasarkan akal dan hawa nafsu mereka. Sedangkan satu-satunya Musyarri’ (Pembuat Hukum) adalah Allah Azza Wa Jalla. Oh! Alangkah beraninya mereka!

Antara aspek terpenting ajaran Islam adalah yang berkaitan dengan aktiviti penguasa (yang sedang memerintah). Ini tidak terbatas kepada kita yang berada di Malaysia sahaja, bahkan juga kepada seluruh negara kaum Muslimin lainnya. Firman Allah Azza Wa Jalla,

“Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan, maka mereka adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

Sesungguhnya kata “yahkum” (berhukum) dalam ayat ini, sepertimana juga dalam surah yang sama ayat 45 dan 47, mencakup siapa sahaja yang memiliki autoriti dan kekuasaan untuk memutuskan suatu hukum (undang-undang) serta menerapkannya, baik sebagai ketua negara atau menteri-menterinya atau orang-orang yang diberi kuasa oleh mereka (untuk membuat hukum).

Setiap orang yang memiliki autoriti untuk menerap dan memutuskan hukum, maka mereka termasuk dalam pengertian “yahkum” dalam ayat tersebut atau ayat-ayat lainnya. Oleh itu, siapa sahaja yang menerap dan memutuskan suatu urusan dengan cara yang tidak diizinkan oleh Allah, maka dia secara nyatanya telah berhukum dengan selain hukum yang diturunkan oleh Allah, baik kerana dia sengaja atau kerana kejahilan sekalipun.

1 ulasan:

ahmad_syabab berkata...

Salam, sebenarnya artikel ni sebahagian dari artikel penuh tajuk yg sama. Boleh rujuk link nihttp://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/2160-sn219-judi-halal-judi-haram-perbuatan-syaitan