KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengukuhkan pentadbiran Jabatan Imigresen Malaysia bagi membasmi dan mengawal kemasukan pendatang asing (PATI) yang kian membimbangkan.
Ahli Dewan Negara Senator Dr. S Ramakrishnan meminta agar kerajaan memain peranan penting dalam membasmi kemasukan PATI dengan mengetatkan polisi-polisi yang sedia ada supaya dapat mengawal kemasukan mereka.
Menurutnya, Imigresen Malaysia gagal mengawal kemasukan PATI kerana wujudnya agen dalaman dari jabatan tersebut yang sewenang-wenangnya melonggarkan polisi yang telah ditetapkan.
"Malaysia berada pada tahap membimbangkan kerana kemasukan PATI yang keterlaluan tidak mampu disekat dan menyebabkan negara terdedah dengan pelbagai jenayah merbahaya seperti dadah, rompak dan sebagainya.
"KDN perlu melaksanakan tanggungjawab sepenuhnya agar mengekang kemasukan tersebut demi menjaga imej dan kedudukan negara di mata dunia," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu menyediakan pekerjaan kepada penganggur tempatan bagi membantu negara mengurangkan pergantungan kepada warga asing.
Ramakrishnan berkata, kerajaan dilihat memberi tender mengimpot pekerja asing kepada syarikat-syarikat kroni hingga berlakunya penyelewengan seperti kemasukan mereka tidak dipantau.
Selain itu, beliau berkata ada segelintir syarikat swasta mengambil kesempatan memberi pekerjaan kepada PATI yang tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah.
"Syarikat swasta mengambil PATI sebagai pekerja kerana dapat memberi gaji paling minima berbanding gaji yang harus dibayar kepada rakyat tempatan untuk pekerjaan yang sama.
"Pemantauan secara berterusan dan tegas dari kerajaan mampu memberi perubahan kepada keadaan yang sedang berlaku," jelasnya lagi.
Beliau berkata, kerajaan sekarang perlu membuat banyak perubahan supaya dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan