HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Mei 2010

Kumpulan jual resit tol palsu dipatahkan

BERNAMA


NIBONG TEBAL - Polis mematahkan kegiatan satu kumpulan menjual resit palsu bagi bayaran tol untuk perjalanan sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan.

Dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Keramat Permai di sini pada Isnin lepas, polis menahan dua pemandu lori rakyat tempatan dan seorang wanita warga negara Indonesia yang dipercayai terlibat, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat di sini, hari ini.

"Serbuan itu dibuat hasil maklumat orang ramai dan risikan polis sejak beberapa minggu lepas," katanya.

Beliau berkata, polis merampas pelbagai peralatan untuk menghasilkan tiket palsu antaranya set komputer, mesin pencetak, gelung kertas cetakan lebuh raya PLUS, catatan yang mengandungi maklumat kenderaan, pelbagai resit dan wang tunai RM500.

Shafien berkata, kebanyakan pelanggan kumpulan itu adalah pemandu lori yang menggunakan resit berkenaan untuk membuat tuntutan bayaran daripada majikan masing-masing.

"Pemandu lori yang terlibat dengan sindiket ini tidak melalui lebuh raya sebaliknya menggunakan jalan lama dan membeli resit palsu itu," katanya.

Shafien berkata, siasatan mendapati kumpulan berkenaan telah beroperasi sejak 14 bulan lepas dan mengaut keuntungan RM400 sehari.

Tiada ulasan: