KUALA LUMPUR - Majlis Peguam kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lepas yang membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyoal siasat saksi selepas waktu pejabat.
Presidennya, Ragunath Kesavan mendakwa keputusan itu disebabkan terlampau banyak kebebasan diberikan kerajaan kepada SPRM sehingga mahkamah gagal menjalankan tugas selaku pemeriksa dan pengimbang di dalam isu berkenaan.
"Mahkamah memainkan peranan penting menjadi pemutus kepada pertikaian di antara individu dan negara selain melaksanakan mekanisme periksa dan imbang.
"Bagaimanapun, pemerintah telah memberi SPRM terlampau banyak kebebasan sehingga mendorong mahkamah gagal menjalankan peranannya dalam isu ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mahkamah Persekutuan pada 20 Mei lalu menolak rayuan akhir Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tan Boon Wah, 40, setelah beliau gagal mencabar hak SPRM di sisi Perlembagaan.
Keputusan itu menetapkan SPRM berhak menyoal siasat saksi tanpa batas waktu kerana amalan yang dipraktikkan itu tidak bercanggah dengan undang-undang.
Dengan keputusan tersebut, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Disember tahun lalu manakala keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini pada 19 November tahun lalu diketepikan.
Ragunath menambah, saksi yang membantu penyiasatan sekurang-kurangnya perlu mempunyai perlindungan dan hak sama seperti orang yang dituduh iaitu dibenarkan mempunyai rehat mencukupi yang dijamin di bawah Peraturan 20, Peraturan-peraturan Lokap 1953.
"Kuasa yang ada pada agensi undang-undang dalam menyoal siasat saksi dan tertuduh perlu tertakluk kepada undang-undang. Kebebasan asas individu turut perlu didukung," ujarnya.
Beliau bagaimanapun berpendapat, saksi boleh disoal siasat selepas waktu pejabat sekiranya dia bersetuju untuk berbuat demikian dengan ditemani penasihat undang-undang.
"Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan seolah-olah membenarkan SPRM memaksa saksi tampil untuk disoal siasat bagi tempoh yang panjang melebihi waktu pejabat tanpa ada ruang untuk mereka menolaknya.
"Kami menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi melindungi saksi selain memastikan ketelusan serta penyiasatan yang bertanggungjawab dapat dilaksanakan. Ia akan meningkatkan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan