Oleh Muda Mohd Noor
Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam hari ini menjelaskan pendedahan isu rasuah dalam kumpulan Semesta Sdn Bhd yang terbabit dengan industri dan mineral adalah untuk kebaikan rakyat Selangor.
Ahli majlis pimpinan tinggi PKR itu berkata, ia juga selaras dengan janji kerajaan negeri yang mengutamakan ketelusan dalam pentadbirannya.
"Pendedahan ini bukan kerana kepentingan politik saya tetapi untuk kebaikan kerajaan negeri dan rakyat negeri Selangor.
"Ini bukan untuk menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Saya akan mendedahkan nama tiga pegawai itu esok dalam satu laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Klang," katanya yang dikenali dengan panggilan Mike ketika dihubungi hari ini.
Manikavasagam yang juga pengerusi biro pengaduan masyarakat PKR berkata, maklumat mengenai rasuah dalam Kumpulan Semesta itu diberikan sendiri oleh orang dalam syarikat tersebut.
Katanya, orang dalam berkenaan telah membuat aduan perkara itu kepada kerajaan negeri tetapi setakat ini tidak ada sebarang tindakan diambil.
"Orang Kumpulan Sementa itu tahu apa yang berlaku dan mereka tidak mahu perkara ini berterusan berlaku," katanya.
Manikavasagam menegaskan, tindakannya itu kerana rakyat Selangor tidak mahu adanya pemimpin rasuah dalam kerajaan negeri Selangor.
Katanya, beliau membuat laporan polis itu kerana tidak mahu dianggap sebagai pemimpin yang hanya main-main dan takut mendedahkan bukti.
Beliau berkata, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya selalu berkata, pemimpin yang rasuah perlu ditolak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan