KUALA LUMPUR: Parti Islam Semalaysia (PAS) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kenapa blok L & M telaga minyak di perairan Limbang, Sarawak dengan mudah diserahkan kepada Brunei Darussalam pada sidang Dewan Rakyat 7 Jun nanti.
Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahudin Ayob berkata, perdana menteri perlu menerangkan situasi pemberian 2 blok minyak tersebut supaya rakyat mengetahui apakah yang sebenarnya telah berlaku.
" Rakyat ingin tahu daripada Najib sendiri supaya kerajaan tidak dituduh berselindung di sebalik sebarang penyelewangan mahupun penipuan," katanya.
Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, "isu minyak ini telah lama mendapat perhatian tetapi masih tiada sebarang penjelasan rasmi dari pemimpin-pemimpin negara.
Beliau berkata, PAS akan membawa usul Limbang ini di Dewan Rakyat kerana ia untuk kepentingan umum untuk mengetahui lebih lanjut mengapa Malaysia memberikan blok-blok tersebut kepada kerajaan Brunei.
Menurut beliau, rakyat masih keliru mengenai masalah isu minyak ini dan banyak lagi berkaitan pelaburan minyak perlu diketahui rakyat agar tidak wujud kesan penyelewengan dalam kerajaan yang dikatakan mengamalkan kroni dan nepotisma.
Akhbar harian The Edge Financial Daily dan Times Brunei melaporkan, kerajaan telah menyerahkan dua blok minyak tersebut kepada Brunei ketika pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib (timbalan perdana menteri pada ketika itu.)
Seorang lagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya mempersoalkan tindakan Abdullah yang menyebabkan Malaysia kehilangan sebanyak RM320 bilion dari hasil minyak .
Salahuddin berkata, isu minyak Limbang ini perlu diselesaikan di parlimen dan meminta Najib memberi kenyataan terbaik di depan semua ahli parlimen dan supaya rakyat dapat mendengarnya pada sesi pertama Dewan Rakyat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan