| BERNAMA | ||
|
"Ini bukan lagi kebebasan berfikir malah jelas menyalahi fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan. Kerajaan perlulah mengambil tindakan tegas kepada kumpulan ini dan kita akan bantu kerajaan di mana-mana bahagian yang boleh kita bantu. Secara jelasnya ini adalah apa yang dikatakan jenayah akidah," katanya di Kuala Lumpur.
Mohd Nakhaie yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Wilayah Persekutuan, turut menyeru lain-lain NGO untuk bersama memainkan peranan dengan memberi penerangan kepada masyarakat supaya tidak terjebak dengan ajaran sesat tersebut.
Konsert itu diadakan empat hari selepas Ashaari meninggal dunia di Hospital KPJ Ipoh Specialist pada 13 Mei lalu akibat jangkitan paru-paru.
Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pula berkata, kumpulan tersebut adalah antara kumpulan yang telah difatwakan sebagai kumpulan ajaran sesat.
"Apa yang disebutkan sebagai tidak mati dan ghaib itu berkaitan dengan soal akidah sebenarnya. Majlis Agama Islam perlulah memantau mengenai penyelewengan kumpulan tersebut yang mempunyai pegangan yang menimbulkan keraguan.
Beliau turut menggesa kerajaan supaya serius dalam pemantauan selain memberikan penjelasan kepada masyarakat khususnya orang Islam supaya akidah mereka tidak dipesongkan oleh kumpulan tersebut.
Zaid turut mencadangkan supaya kerajaan menjemput tokoh agama bagi mengadakan perbincangan dengan wakil kumpulan Al-Arqam bagi membolehkan perkara yang menimbulkan keraguan di kalangan anggota kumpulan tersebut dapat diselesainya mengikut ajaran Islam yang betul.
Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata selain NGO, orang ramai juga diminta berperanan untuk membantu kerajaan dengan melaporkan kegiatan keagamaan yang menyalahi fatwa.
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Ab Rahim pula berkata, tindakan yang diambil kerajaan adalah tepat bagi memastikan kegiatan kumpulan Al-Arqam dapat dilumpuhkan.
"Yang membimbangkan kita, jika tidak dipantau dan diambil tindakan tegas, ia akan mempengaruhi masyarakat di luar khususnya belia yang tidak tahu susur galur perjalanan kumpulan ini.
"Kita sedia membantu kerajaan memberi penjelasan kepada masyarakat supaya mereka tidak terpengaruh dengan ajaran sesat kumpulan ini kerana ia membabitkan penyelewengan akidah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan