Oleh Frederick Luccas
PETALING JAYA - Yang Dipertua PAS Kelana Jaya, Ir Izham Hashim berkata beliau kagum dengan kemampuan pemimpin Pakatan Rakyat yang tahu menyebut dan menggunakan ayat Quran dengan betul.
"Di mana kita pernah melihat perkara sebegini, ADUN Umno-BN pun tak pernah, sebab dia sendiri tak tahu ayat Quran," kata Izham pada ceramah anjuran Pakatan Rakyat di Kampung Lindungan Ahad lalu.
Izham menambah orang Islam yang benar akan membetul kesilapan yang lain, bukan menuntut supaya ia dihentikan seperti mana yang berlaku sekarang.
Beliau merujuk kepada bantahan Umno yang sebelum ini mempertikaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming yang membaca potongan ayat Al-Quran dan Hadis dalam ucapan mereka.
Beliau menekankan jika masyarakat berminat untuk mempelajari Quran, ia patut digalakkan dan diberi tunjuk ajar supaya ajaran yang betul dapat diterapkan.
Pada majlis yang sama Ahli Dewan Undangan Negeri Meru, Dr Abdul Rani Osman berkata hanya dengan nilai dan ajaran agama yang betul mampu mewujudkan pentadbiran yang cekap dan rakyat yang sejahtera.
"Kaum India perlu kembali ke kuil, Kristian perlu kembali ke gereja dan Melayu perlu memenuhkan masjid dan bina kembali keimanan yang hilang. Hanya dengan asas keagamaan dan tatasusila yang teguh, masyarakat dapat memahami kebenaran" kata Dr Abdul Rani.
Ahli Dewan Undangan Negeri Hutang Melintang, Kesavan Subramaniam yang turut menyampaikan ceramah berkata kerajaan 'mahkamah' Barisan Nasional Perak mendiskriminasikan ADUN Pakatan Rakyat dengan tidak membenarkan mereka mengguna dewan orang ramai dan tidak dipanggil hadir Mesyuarat Majlis Tindakan Bulanan di Pejabat Pentadbir Wilayah.
"Mereka cuba menunjukkan seolah-olah kami tidak melaksanakan amanah rakyat tetapi ini tidak akan bertahan lama kerana rakyat kini sedar dan tidak percaya lagi media milik Umno-BN", kata beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan