HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mei 2010

Pentingkan pekerja tempatan, Najib beri majikan amaran

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta semua majikan agar pentingkan pekerja tempatan dengan memberi keadilan dengan memberi upah yang sewajarnya.

Katanya, majikan sepatutnya mencari jalan untuk tingkatkan produktiviti pekerja tempatan, dan bukannya mencari jalan mudah membawa pekerja asing dengan mengorbankan pekerja tempatan.

“Ini tidak wajar dilakukan. Jangan salahkan kerajaan kalau kita tidak meluluskan tambahan pengimportan pekerja asing.

“Kita nak lihat bagaimana pekerja-pekerja tempatan boleh diberi keutamaan dalam pertimbangan mereka (majikan),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Hari Pekerja 2010 anjuran Kementerian Sumber Manusia di Mines Resort City, Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Najib berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan akan mewujudkan satu skim baru bagi membantu majikan mengadakan latihan dalaman bagi meningkatkan kemahiran para pekerja, termasuk memiliki kemahiran baru.

Perdana Menteri berkata dengan adanya latihan tersebut, ia bukan sahaja akan meningkatkan lagi kemahiran para pekerja dengan kos yang lebih efektif, malah dengan peningkatan kemahiran, mereka juga mampu menikmati pendapatan yang lebih tinggi.

“Daripada kita pindah mereka ke institusi latihan (untuk menjalani latihan), latihan amali di peringkat shop floor (di tempat kerja), saya percaya merupakan satu pendekatan yang akan meningkatkan lagi kemahiran para pekerja,” katanya.

Beliau berkata pekerja yang sanggup mempelajari kemahiran baru serta bersikap inovasi sepanjang masa akan dapat menjulang maruah dan martabat negara sepanjang masa.

“Pekerja-pekerja seperti inilah yang menjadi pemacu dan pencetus transformasi besar negara,” katanya.

Tiada ulasan: