sekiranya cadangan Datuk Ibrahim Ali diterima, sidang Parlimen kita mungkin tidak hangat lagi. Yang Berhormat dari Pasir Mas itu mahu supaya kekebalan yang diberikan kepada anggota-anggota Parlimen ketika berucap di Dewan Rakyat dimansuhkan. Ertinya mereka yang menyebar fitnah dalam Dewan yang mulia itu boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau bagaimanapun menegaskan cadangannya itu hanya melibatkan fitnah yang dibuat terhadap YB-YB lain, dan tidak membabitkan pelbagai isu negara yang dibangkitkan ketika sidang. Pada sidang baru-baru ini anggota Pas dari Machang, Saifuddin Nasution Ismail menyebut bahawa ‘Tok Yim’ memiliki saham dalam syarikat judi.
Sebenarnya selain isu judi terhadap YB Pasir Mas itu, sidang Dewan kita memang dari semasa ke semasa dihangatkan dengan tuduhan-tuduhan bersifat peribadi yang ditujukan dalam kalangan sesama YB. Kalau kita dengar tuduhan-tuduhan itu nampak macam Parlimen kita dipenuhi oleh ramai orang yang bercacat-cela sana-sini. Maka rakyat bertanya: Macam mana orang-orang kotor ini boleh dipilih dan masuk Parlimen?
Kebanyakan tuduhan peribadi itu didedahkan lebih untuk melepas geram, tetapi tanpa bukti kukuh. Semua boleh tuduh YB itu ada panau, YB ini ada kurap, kudis buta, bisul, sopak, pekung, pendek kata apa sahaja yang buruk-buruk lagi yang busuk-busuk. Jadilah Dewan mulia yang sepatutnya membincangkan masalah rakyat, membazirkan masa hanya untuk perang mulut atas hal-hal peribadi. Betul-betul menghabiskan beras!
Harap-harap cadangan memansuhkan kekebalan itu diterima, supaya semua anggota Yang Berhormat – termasuk Tok Yim sendiri – tidak lagi menghabiskan masa bersidang, juga tidak menghabiskan duit rakyat, untuk tumbuk-tumbuk meja, ejek-mengejek, dan berkelahi mengenai perkara-perkara peribadi yang kadang-kadang kedengaran amat remeh, lagi amat tidak bijak. Betul-betul macam orang bertekak di warung teh tarik.
Ingatlah di luar Dewan, ada pemandu teksi yang menyewa permit, panas berpeluh sebab kesesakan di bandar raya berpunca dari kerja-kerja mengorek dan menimbus lubang yang tidak pernah habis-habis. Pemandu teksi hanya dapat gaji tidak sampai RM50 sehari setelah bekerja antara 12 hingga 16 jam.
Di luar juga ada beribu-ribu petani dan nelayan yang masih hidup di bawah paras kemiskinan. Kerja berhempas pulas siang dan malam untuk menyara keluarga lapan anak. Ada anak yang terpaksa berhenti sekolah untuk menjaga adik-adik. Ada yang kecewa tidak dapat bantuan Baitulmal untuk duit permulaan masuk universiti (tetapi wang Baitulmal terseleweng juga!). Ada warga emas tidak dipedulikan hingga tinggal berduka di dalam gubuk buruk.
Kemudian ada beribu-ribu warga tempatan tidak mendapat kerja, sebab peluang kerja telah dirampas oleh pendatang asing – termasuk yang tanpa permit, juga lebih 40,000 yang ‘bersembunyi’ setelah ‘visa semasa tiba’ atau VOA mereka tamat tempoh. Apa langkah kita untuk mengusir pendatang tanpa izin ini, sedangkan mereka saban hari merompak, membunuh dan merogol orang kita.
Ini hanya sekelumit dari sekian banyak masalah besar rakyat yang perlu diberi perhatian oleh wakil-wakil dipilih menerusi pilihan raya demokrasi. Semua Ahli Parlimen memang tahu hal ini. Malah, usaha membanteras dan mengatasi masalah-masalah ini adalah antara yang dijanjikan mereka, dengan semangat berapi-api, semasa kempen pilihan raya dulu.
Masalah-masalah seperti inilah yang sepatutnya dibincang dan didebatkan setiap kali sidang Dewan, dan seterusnya dicari jalan untuk mengatasinya. Rakyat sudah bosan menonton siaran sidang Parlimen menerusi TV, sebab yang selalu ditunjukkan hanya laungan juga janji dan azam stereotaip yang memualkan. Di dalam Dewan cakap lain, di luar Dewan buat lain.
Lebih dari itu ada juga sesetengah wakil rakyat yang seperti tidak ada kemahiran dan pengetahuan lain kecuali menumbuk meja, melemparkan kata-kata kesat, mencaci, malah mencarut. Bayangkan di Dewan yang mulia mereka boleh mencarut! Sesetengahnya cuba mencari perhatian dengan lawak dan kelakar. Sedarlah, tidak ada masa lagi untuk berkelakar dan ketawa-ketawa semasa bersidang. Percayalah, rakyat sudah tidak terhibur dengan lawak-lawak bodoh itu.
Parlimen kita memang tidak seburuk apa yang terjadi di beberapa negara lain, seperti membaling kerusi, bertumbuk sesama sendiri, malah ada yang meletupkan bom asap. Tetapi dengan sikap yang ditunjukkan oleh sesetengah anggota Yang Berhormat, bukan tidak mungkin apa yang buruk di beberapa Parlimen luar negara itu, akan berlaku di tempat kita.
Rakyat, khasnya pengundi, sedang memerhati perangai wakil-wakil rakyat kita. Mereka akan menilai siapa patut dikekalkan pada pilihan raya umum akan datang. Mereka akan memilih hanya terbaik; yang kaki busuk – tidak kira dari mana-mana parti – pasti akan ditolak. Si kaki busuk tidak layak bergelar YB. S/H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan