HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Mei 2010

Perjanjian Brunei-Malaysia: Sapp gesa bubar DUN Sabah

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Parti Progresif Sabah (Sapp) yang keluar Barisan Nasional (BN) akhir 2008, menggesa kerajaan Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membolehkan kerajaan negeri baru dipilih di sebalik isu pertikaian berhubung penyerahan dua blok minyak kepada Brunei.

“Jika kerajaan negeri tidak mampu, tidak mahu atau takut untuk mengambil tanggungjawab ini, maka ia harus membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya baru diadakan untuk memilih kerajaan negeri yang baru bagi melindungi hak dan kepentingan Sabah,” kata Presiden Sapp Datuk Yong Teck Lee dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataannya, Yong menyoal sama ada Ketua Menteri Sabah dan Kabient menyedari tentang penyerahan wilayah maritim oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri awal tahun lalu.

“Apa yang kerajaan negeri hendak lakukan berhubung kerugian wilayah dan potensi royalti minyak? Berdasarkan kadar lima peratus, royalti dianggarkan RM16 bilion,” katanya.

Selain itu Yong juga bertanya sama ada menteri-menteri Kabinet dari Sabah juga mengetahui perkara itu dan pendirian mereka dalam isu berkenaan.

Malah Yong berkata sama ada adanya unsur pengkhianatan oleh perdana menteri terdahulu dan anggota Kabinet beliau dalam menyerahkan wilayah negara tanpa kelulusan Parlimen, DUN dan Majlis Raja-raja Melayu.

“Mengapa begitu tergesa-gesa untuk menyerahkan wilayah itu hanya beberapa minggu pertukaran perdana menteri pada Mac 2009?” katanya.

Selain itu dalam kenyataannya Yong menyoal sama ada sempadan Blok L dan Blok M mengikut garisan geografi yang diselaraskan dalam peta nasional dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.

Sehubungan itu kata beliau, Sapp mahu kerajaan mendedahkan kepada umum terma dan syarat menyerahkan Blok L dan M berdasarkan perjanjian Mac 2009.

Selain itu Sapp juga mahu kerajaan menerbitkan peta Sabah yang merangkumi wilayah maritim.

Sapp, kata beliau, mahu kerajaan negeri menuntut pampasan daripada kerajaan persekutuan atas kerugian wilayah maritim Sabah, hak perkapalan, perikanan dan sumber-sumber lain di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengeluarkan satu kertas putih bagi menjelaskan dengan terperinci isu ini dengan segera.

“Saya meminta Najib agar mengeluarkan kronologi penuh peristiwa-peristiwa yang membawa kepada penyerahan Blok L dan Blok M kepada Brunei dan kedudukan tuntutan Brunei ke atas Limbang, jika ada dan bila, Brunei menggugurkan tuntutan ke atas kedaulatan Limbang,” kata Lim yang juga anggota Dewan Rakyat.

Kedua-dua pemimpin itu mengeluarkan kenyataan mereka susulan penjelasan Wisma Putra pagi ini bahawa Pertukaran Surat antara Malaysia dan Brunei pada Mac tahun lalu telah menyelesaikan isu-isu dua hala tertangguh antara kedua-dua negara melalui penyelesaian secara baik.

Perjanjian itu, yang telah membawa lembaran baru dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara, adalah hasil daripada rundingan sukar selama 20 tahun antara Malaysia dan Brunei mengenai pelbagai isu termasuk maritim dan sempadan, menurut Wisma Putra dalam kenyataan di sini.

Kementerian Luar itu menyatakan satu daripada elemen penting dalam perjanjian yang ditandatangani oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada 16 Mac 2009, adalah memuktamadkan penyempadanan kawasan maritim antara Malaysia dan Brunei.

Selain mendapatkan kelulusan Kabinet Malaysia mengenai isi kandungan Pertukaran Surat antara kedua-dua negara, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga dirundingi dan diberikan taklimat penuh mengenai perkara itu, kata Wisma Putra.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam blognya pada Khamis, mempersoalkan kenapa Blok L dan M tidak lagi menjadi milik Malaysia dan berkata keadaan itu menyebabkan Malaysia kerugian kira-kira AS$100 bilion (RM320 bilion).

Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Abdullah, telah menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran kepada Limbang.

Abdullah menjelaskan perjanjian darat dan laut dengan Brunei diluluskan oleh Kabinet dan Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha sama pembangunan minyak dan gas atas dasar komersial di kedua-dua kawasan itu bagi tempoh 40 tahun.

Tiada ulasan: