GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menganggap perubahan undang-undang berkaitan akta pekerja yang dicadangkan kerajaan persekutuan boleh menjejaskan hak dan kehidupan golongan tersebut.
"Kita ingin sampaikan rasa prihatin kita terhadap perubahan tersebut bagi membela nasib kaum pekerja", kata beliau dalam perutusan Hari Pekerja di bangunan Komtar semalam.
Menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), pindaan terhadap Akta Hubungan Industri 1967, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Kerja 1955 dianggap sebagai 'bencana' kepada kaum pekerja.
Sekiranya undang-undang tersebut dilaksanakan, majikan berhak untuk memfailkan kes pemecatan dan membawa pekerja ke Mahkamah Perusahaan.
Pindaan dalam akta tersebut turut membenarkan pihak majikan untuk mengubah waktu kerja.
Manakala pindaan dalam Akta Kesatuan Sekerja pula membolehkan majikan untuk mempersoalkan status wakil kesatuan dalam tempoh lima tahun.
Ia dianggap sebagai penindasan kepada kesatuan sekerja dan perlindungan kepada pekerja di negara ini.
"Saya faham keperluan pengusaha untuk mengembangkan kerjasama dengan pelabur. Tapi kita tidak boleh mengorbankan kepentingan pihak lain, terutamanya golongan pekerja", jelas Guan Eng.
Beliau bersetuju dengan keperluan pasaran semasa yang memberikan fokus terhadap produktiviti kerja yang tinggi.
Selain itu Guan Eng memandang serius masalah pengangguran dan kekurangan tenaga kerja, sedangkan Malaysia mempunyai banyak tenaga mahir, contohnya di negeri 'kaya' seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak.
"Kita hairan bagaimana negeri-negeri tesebut yang kaya dengan minyak dan gas, tetapi dalam masa yang sama masih terdapat masalah kemiskinan dan pengangguran,? soalnya.
Beliau juga tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dianggap sebagai beban baru kepada rakyat. Beliau mendedahkan walaupun kerajaan telah menangguhkan pelaksanaan GST, namun ianya tidak bermakna bahawa pelaksanaannya akan dimansuhkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam sebuah wawancara dengan Bernama bulan lalu ketika ditanya samada kerajaan akan menggunakan kaedah politik bagi pelaksanaan GST berkata beliau optimis rakyat akan bersetuju
"Ini bermakna, kerajaan boleh menguatkuasakan undang-undang ini pada bila-bila masa sedangkan kita tahu terdapat hampir dua juta rakyat di negara ini yang berpendapatan kurang RM 3,000 sebulan dan bakal membebankan kesemua 12 juta pembayar cukai", jelasnya.
Beliau menyarankan pihak kerajaan supaya konsisten dalam usaha pencegahan rasuah yang menyebabkan ketirisan perbelanjaan tahunan sebanyak RM28 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan