HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Mei 2010

Puteri Umno gesa Nik Aziz beri reaksi

BERNAMA



Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin parti itu digesa tampil memberi reaksi terhadap pendedahan penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berhubung beliau diberi peruntukan RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pergerakan itu percaya jika Menteri Besar Kelantan itu dan pemimpin PAS yang lain berada di pihak benar, mereka sudah pasti tidak akan teragak-agak tampil menafikan pendedahan tersebut.

"Atau mungkin, sekarang mereka sedang berbincang dan mencari jalan untuk melepaskan diri daripada pendedahan tersebut dan akan memindahkan beban pembuktian itu kepada orang lain," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, penulis blog Kickdefella itu, telah menyahut cabaran Dewan Pemuda PAS Kelantan dengan membuat pendedahan terdapat lima individu utama yang memberi peruntukan berkenaan dan menyerahkan bukti tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rosnah berkata jika Syed Azidi berani tampil dengan bukti, maka pemimpin PAS terutama Nik Abdul Aziz juga mesti berani berbuat demikian atas prinsip "berani kerana benar".

Beliau berkata tindakan Syed Azidi membuat pendedahan itu dan menyerahkan bahan bukti kepada SPRM bukanlah sesuatu yang kecil atau boleh dibuat-buat.

"Syed Azidi sendiri akan berhadapan dengan tindakan undang-undang jika menyerahkan bukti-bukti palsu kepada SPRM.

"Beliau sudah tentu arif bahawa pihak yang didakwa memberi peruntukan itu akan membuat laporan polis atau sekurang-kurangnya mencabar keterangan yang diberi jika benar mereka tidak terlibat. Apatah lagi mereka bukan calang-calang orang untuk dinamakan begitu sahaja oleh Syed Azidi," katanya.

Sehubungan itu, Rosnah berkata Puteri Umno yakin rakyat mampu membuat penilaian yang bijak mengenai pendedahan Syed Azidi dan menentukan sejauh mana PAS yang mendakwa memperjuangkan Islam selama ini, melaksanakan apa yang mereka cakap atau mereka sendiri "cakap tak serupa bikin".

Katanya pergerakan itu juga percaya PAS akan cuba melibatkan Umno dalam hal pendedahan itu untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya parti mereka bersih daripada sebarang dosa.

"Oleh itu rakyat harus berhati-hati supaya tidak terus terpedaya dengan taktik PAS yang sanggup tidur sekatil dengan DAP tetapi sentiasa meletakkan kesalahan kepada Umno jika ada kalangan ahli atau orang kuat mereka berpaling tadah termasuk mendedahkan segala kemungkaran dalam parti itu," katanya.


Tiada ulasan: