HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Mei 2010

Ramai Lagi Mangsa Tembakan Sembrono Akan Saman Polis

Oleh Rusnizam Mahat


SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M Manoharan percaya ramai lagi rakyat Malaysia akan tampil untuk menyaman Polis DiRaja Malaysia kerana didakwa menembak orang awam sesuka hati tanpa mengikut undang-undang.

Beliau mengulas berhubung tindakan seorang mangsa yang terselamat daripada tembakan polis mengemukakan saman RM4.5 juta terhadap PDRM dan kerajaan atas kecederaan yang dialaminya dan menuntut pembelaan yang sewajar.

Siti Nasrinda Sumirin, 23, mendakwa ditembak polis secara semborono di Klang pada 19 Ogos tahun lalu menyebabkan kecederaan di bahagian pinggang sedalam dua inci

Beliau juga mengemukakan saman sebanyak RM1 juta kerana mendakwa reputasinya terjejas teruk berikutan kejadian itu.

Saman itu difailkan di mahkamah tinggi Shah Alam oleh Manoharan yang juga bertindak sebagai peguam beliau.

Ketua Polis Daerah Klang, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara, dua anggota polis serta kerajaan dinyatakan sebagai defenden dalam tuntutan tersebut.

Selain pampasan RM4.5 juta, suami Siti Nasrinda yang juga terlibat semasa kejadian itu menuntut pampasan sebanyak RM500,000.

Ketika dihubungi Suara Keadilan Manoharan berkata kes terbaru ini adalah bukti penganiayaan polis terhadap orang awam, sama seperti yang menimpa Aminulrasyid Amzah dan Norizan Salleh.

"Saya percaya selepas kes Aminulrasyid ramai lagi akan tampil membuat laporan seperti ini kerana mereka sebelum ini tidak berani memberi keterangan kerana takut dan sebagainya.

"Apa yang lebih malang kes ini membabitkan orang awam yang tidak bersalah," ujar beliau.Manoharan berkata kejadian itu berlaku di kawasan perumahan Sungai Keramat, Klang Utara, apabila sebuah kereta peronda polis yang dinaiki dua anggotanya berhenti berhampiran kereta yang dinaiki Siti Nasrinda yang dipandu tunangnya ketika itu.

"Sejurus selepas mereka diberhentikan dan dua anggota polis itu menyuluh ke arah mereka, mereka beredar tetapi polis mengekori kereta berkenaan dan melepaskan tembakan.

"Saya tidak faham mengapa polis boleh bertindak demikian terhadap orang awam yang tidak berdosa. Apakah polis boleh sewenangnya melepaskan tembakan ke arah kereta yang dipandu laju?" soal Manoharan.

Katanya, sehingga kini polis tidak membuat sebarang tindakan mahupun siasatan meskipun sudah berlaku beberapa bulan.

"Dalam kes Aminulrasyid, kes itu di bawa ke panel siasatan kerana polis mungkin mendakwa ia dibesar-besarkan pihak media. Tetapi dalam kes Siti Nasrinda tidak ada sebarang berita, tidak ada sebarang pengecaman dan siasatan dilakukan terhadap anggota polis berkenaan," katanya.

Tiada ulasan: