HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mei 2010

Selangor Bahas Akta Kebebasan Maklumat Julai Depan

Oleh Norasikin Samsi


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor mengulangi komitmen untuk merealisasikan Akta Kebebasan Maklumat dengan membentang dan membahaskan akta berkenaan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor Julai depan.

Menurut Timbalan Speaker, Haniza Talha, Akta Kebebasan Maklumat ini bertujuan menggalakkan akses kepada maklumat yang dipegang oleh badan awam dan badan persendirian yang mempunyai kepentingan awam.

Beliau berkata pada dasarnya, prinsip yang diaplikasikan ialah semua maklumat yang dipegang oleh badan awam mampu diakses oleh rakyat terutamanya jika pendedahan maklumat tersebut mempunyai kepentingan awam dan selagi ianya tidak menggugat keselamatan negara.

"Contohnya, antara akses maklumat yang boleh diketahui orang awam adalah berkaitan urus tadbir, pembahagian tender saham dan maklumat lain yang tidak menjejaskan keselamatan negara," katanya kepada Suara Keadilan.

Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan berkata tujuan akta ini diwujudkan adalah untuk memberi kaedah timbal-balik supaya apa yang diputuskan kerajaan negeri adalah yang terbaik.

Beliau juga mengingatkan terhadap betapa pentingnya kebebasan menyuarakan pendapat dalam pembinaan masyarakat demokrasi.

Katanya undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara seperti Akta Percetakan dan Penerbitan juga Akta Rahsia Rasmi yang digunakan bagi menyekat kebebasan media dan rakyat daripada menggunakan hak-hak mereka untuk mendapat pelbagai maklumat sewajarnya tidak dibiarkan berkekalan.

"Akta Kebebasan Maklumat ini relevan untuk rakyat daripada dihalang untuk mendapatkan maklumat secara telus.

"Dalam kes ini, kita boleh merujuk kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mana mangsa ditahan tanpa dibicara," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, antara agenda pelaksanaannya bertujuan sebagai sokongan kepada kebebasan media.

Menurutnya, pembentangan usul itu juga akan memberi satu kefahaman dan bantuan khusus kepada rakyat agar mereka dapat memperolehi sesuatu maklumat secara telus dan bertanggungjawab.

"Mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, rakyat berhak untuk menyampaikan sebarang maklumat, pendapat atau cadangan antara satu sama lain.

"Rang undang-undang ini menggariskan prinsip-prinsip asas hak kebebasan maklumat dan mekanisma berkesan bagi melindungi hak tersebut," katanya.

Namun ADUN Sri Andalas itu juga berkata, tidak bererti semua pihak dibenarkan berbuat demikian kerana ianya terikat dengan beberapa syarat yang ditetapkan.

Dengan kesedaran bahawa kuasa untuk menghapuskan undang-undang seumpama itu terletak pada Kerajaan Persekutuan, Selangor kini berusaha dengan lebih proaktif lagi bagi mempromosikan agenda kebebasan maklumat.

Seawal tahun 2009, kerajaan negeri Selangor menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kebebasan Maklumat yang dianggotai Ahli-Ahli Dewan Negeri dan penjawat awam.

Tiada ulasan: