Oleh IZMAS
SELEPAS Pos Malaysia mengalami kerugian tidak dijangka RM540 juta, kini syarikat konglomerat terkemuka negara, Sime Darby pula ditimpa kerugian lebih besar RM1.63 billion. Kerugian itu akibat dari lebihan kos dalam projek kendaliannya.
Ketua Eksekutif Kanan, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid yang sepatutnya bersara pada 26 November ini diminta bercuti (dalam bahasa halus diberhentikan) dan digantikan dengan Naib Presiden Eksekuitf Perladangan, Datuk Azhar Abdul Hamid. Pihak lembaga pengarah syarikat konglomerat itu meminta Zubir bercuti sebagai memenuhi dasar amalan urus tadbir koperat.
Menurut majoriti penganalisis kewangan, kerugian Sime Darby tidak boleh dibebankan kepada Zubir seorang dan sepatutnya ditanggung bersama oleh semua pengarah syarikat termasuk pengerusinya, Tun Musa Hitam. Ini kerana kerugian itu berpunca dari kesilapan keputusan yang disedari dan dipersetuji bersama oleh semua pihak pengurusan tertinggi syarikat. Andaian umum menyebut, jika syarikat mendapat keuntungan besar, pihak pengurusan tertinggi syarikat mendapat pujian dan nama – dari CEO, lembaga pengarah sehingga kepada pengerusinya. Adalah tidak adil apabila syarikat mengalami kerugian semua pihak itu mahu lepas tangan dan tidak mahu menangung tanggungjawab bersama. Mereka sepatutnya dihukum bersama sebagaimana mereka mendapat kepujian jika syarikat membuat keuntungan kerana mereka berada dalam herarki kepimpinan pengurusan tertinggi syarikat.
Sebenarnya dilihat dari perspektif urustadbir perniagaan koperat, semua keputusan termasuk soal pelaburan syarikat pastinya memerlukan kelulusan dan budibicara lembaga pegarah termasuk pengerusinya. Keputusan yang diambil sudah pasti sudah dibincang dan dihalusi oleh semua pihak pengurusan tertinggi dalam mesyuarat mereka. Jika Zubir seorang saja dihukum adalah dikira tidak adil kerana keputusan dibuat dan dipersetujui oleh semua mereka. Mereka semua juga perlu meletak jawatan sebagai tanggungjawab bersama menanggung beban kesilapan keputusan dan kerugian yang dialami syarikat.
Menurut Pengurus Kanan TA Investmenent Berhadi, Al Setdek Al Haj, semua pengurusan kanan Sime Darby sepatutnya meletak jawatan dan syarikat konglomerat itu perlu disusun semula kerana telah hilang tumpuan dalam operasinya. Menurutnya, penyusunan semula perlu melibatkan semua tidak kira sama ada yang bersalah atau tidak, bukan hanya Zubir seorang saja. Katanya, Sime Darby bukan syarikat milik keluarga. Ia adalah syarikat milik kerajaan yang menggunakan wang rakyat. Jika pengurusan syarikat silap membuat parcaturan, maka semua mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
Setengah pendapat mendedahkan Sime Darby yang dikuasai oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sepatututnya lebih fokus kepada operasi terasnya tanpa cuba menceburi bidang baru yang bukan menjadi kemahiran dan kepakarannya. Dua tahun lalu, syarikat itu pernah cuba membeli kepentingan dalam Institut Jantung Negara (IJN) dan membina lapangan terbang kos rendah di Nilai. Nasib baik semua percubaan itu gagal, jika tidak syarikat mungkin mengalami kerugian lebih besar akibat dari ketamakan pengurusan tinggi meneroka bidang baru yang bukan teras perniagaannya.
Keghairahan pengurusan syarikat koglomerat itu menceburi semua sektor yang bukan terasanya akhirmya memakana dirinya sendiri. Sime Darby seharusnya fokus pada perniagaan asas yang sudah dikenali masyarakat perniagaan dalam sektor seperti perladangan dan otomotif tanpa cuba melebarkan sayap kepada bidang perniagaan seperti minyak, tenaga dan utiliti yang bukan bidang kepakarannya. Syarikat cuba meneroka projek-projek besar di luar negara sedangkan ia belum memilkki tenaga kepakaran yang benar-benar kukuh. Keghairahan menceburi bidang ekonomi baru yang bukan kemahirannya akhirnya membawa kerugian besar kepada negara.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan semua pihak pengurusan tertinggi Sime Darby kerana bersetuju mengendalikan projek haideroletrik Bakun dengan kos yang terlalu rendah dan tidak masuk akal. Bagaimana syarikat boleh membuat keuntungan dengan menerima tawaran projek yang amat murah dan dibawah kos? Siapa konsultan yang memberi nasihat supaya Sime Darby menerima tawaran projek itu? Mahathir berpendapat, kerugian besar syarikat harus dikongsi semua pihak yang terlibat dalam projek itu.
Pengarah Eksukutif Jupiter Securities, Nazzary Rosli berpendapat, kerugian Sime Darby mungkin lebih besar berbanding dengan apa yang diumumkan. Katanya, walaupun jumlah kerugian yang dialami besar tetapi kesannya tidak teruk selagi tidak membabitkan perniagaan tersanya iaitu perladangan dan outomotif. Menurut Nazzary, saham syarikat bakal merudum pada minggu depan akibat sentimen pasaran dan berita buruk prestasi syarikat. Majoriti pengurus dana akan membuat reaksi negatif jika situasi sebenar kerugian syarikat diketahui umum yang melibatkan kecuaian pengurusan syarikat.
Seperti dalam kes Pos Malaysia yang mengalami kerugian RM540 juta, semua berpunca dari kelemahan segelintir Ketua Eksekutif (CEO) dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang tidak cekap dan silap dalam membuat keputusan kritikal dan signifikan untuk syarikat. Dalam episod Sime Darby menunujukkan ketidaktelitian kerajaan dan menteri yang bertanggungjawab dalam melantik mereka yang betul-betul layak dan berpotensi menerajui syarikat koperat besar. Menteri terlibat sepatutnya lebih bijaksana memilih dari kalangan mereka yang banyak pengalaman, benar-benar teruji kewibawaanya dan mempunyai rekod kepimipinan cemerlang dalam memimpin sesebuah syarikat koperat tanpa mengira warna kulit dan usia. Mereka yang dilantik harus datang dari kalangan yang benar-benar mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidangnya dan pandai pula membuat keputusan - bukan dari mereka yang ada hubungkait istimewa atau sejarah persahabatan silam dengan sebarang menteri tertentu.
Harus diingat, kerugian syarikat berkaitan kerajaan itu melibatkan duit rakyat semua kaum sebagai pembayar cukai di negara ini. Mereka berhak bertanya, kenapa berlaku kerugian yang begitu besar dan siapa perlu bertanggungjwab? Kerajaan harus menjalankan siasatan rapi dan telus termasuk mengerah SPRM campurtangan menjalanakan siasatan dalaman syarikat bagi mendapatkan kedudukan situasi kewangan syarikat yang sebenar. Jika dikesan pihak pengurusan tertinggi syarikat gagal menjalankan tugas, seharusnya mereka diberhentikan atau diberi tawaran bersara awal serta dihukum sewajarnya jika berlaku penyelewangan pengurusan yang ketara dan disengajakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan