HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Mei 2010

SPRM Bercadang Pasang Kamera Litar Tertutup di Bilik Siasatan

TV SELANGOR


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini menerima laporan yang menggariskan keperluan badan itu memperbaiki prosedur soal siasatnya ekoran kematian Teoh Beng Hock di perkarangan ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam tahun lalu.

Laporan yang disediakan oleh Jawatankuasa Aduan SPRM, menjurus kepada keselamatan saksi termasuk mengadakan kemudahan kamera litar tertutup selain meningkatkan latihan untuk pegawai-pegawai badan itu.

Lapan langkah penambah baikan prosedur menyoal siasat saksi yang disarankan dalam laporan itu dilihat sebagai perlu bagi memulihkan kepercayaan rakyat SPRM berikutan kematian Beng Hock, yang ditemui mati setelah disoal-siasat semalaman pada 16 Julai lalu.

Jawatankuasa Aduan ini ditubuhkan selepas kematian Beng Hock, seorang pembantu Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat, Ean Yong Hian Wah

Beng Hock di jumpai mati di bumbung tingkat lima, setelah beliau disoal siasat hingga awal pagi berhubung siasatan mengenai dana awam berjumlah kira-kira dua ribu ringgit.

Kerajaan pada mulanya mendakwa Beng Hock membunuh diri tetapi apabila berdepan dengan kecaman masyarakat, akhirnya mengadakan inkues untuk menyiasat punca kematian beliau.

SPRM pula menjalankan siasatan dalaman, selain mengenalpasti kelemahan dalam tatacara kerja SPRM.

“Bila mendengar kelehuan rakyat mengatakan pegawai-pegawai SPRM begitu, maka kami mencadangkan supaya prosedur kerja di SPRM di perbetulkan iaitu apabila menyiasat seorang wanita, hendaklah ada seorang pegawai perempuan bersama, sementara siasatan juga perlu diadakan di bilik khas dengan ada kawalan litar kamera tertutup (CCTV),” katanya.
Penambaihbaikan lain yang disarankan termasuk proses siasatan wajib mengambil kira faktor kesihatan, keselesaan dan keselamatan saksi. Selain itu, pegawai penyiasat dipertanggungjawabkan ke atas keselamatan saksi dari tempoh siasatan sehingga saksi meninggalkan premis SPRM.

SPRM juga disarankan menghantar pegawai penyiasat menyertai kursus dan latihan intensif, serta menyelaraskan prosedur pemeriksaan dan pengurusan saksi setara dengan standard agensi antarabangsa.

- Proses siasatan wajib mengambil-kira faktor kesihatan, keselesaan dan keselamatan saksi.
- Pegawai penyiasat terbabit bertanggungjawab keatas keselamatan saksi dari tempoh bermula siasatan sehingga saksi meninggalkan premis SPRM.
- Mendirikan pagar, jeriji, pengawal keselamatan, kelengkapan cctv, keperluan logistik bagi menjamin keselamatan dan kerahsiaan pejabat SPRM.
- Menyelaras dan mengemaskini Perintah-Perintah Tetap Ketua Persuruhjaya dalam soal pemeriksaan saksi setara dengan agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara.
- Kursus komprehensif dan latihan intensif kepada pegawai SPRM.

“Tugas kami ialah adakah Pegawai SPRM menepati prosedur-prosedur kerja mengenai pengambilan penangkapan tertuduh, pengambilan keterangan dan merakamkan kenyataan iaitu waktunya bila, caranya bagaimana, maka kami tentukan,” katanya.

Pemeriksaan prosedur siasatan yang dijalankan sejak kematian Teoh Beng Hock menetapkan lapan terma rujukan iaitu menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan mengenai aspek mengendalikan saksi dan merakam pernyataan, serta memutuskan sama ada pegawai telah mematuhi garis panduan mengendalikan saksi dan merakam pernyataan dalam kes tersebut.

Ia juga menyemak sama ada SPRM mempunyai garis panduan dalam melaksanakan pemeriksaan saksi, menyemak sama ada undang-undang membenarkan pegawai memeriksa dan mencatatkan jawapan saksi sebelum proses sebenar merakam pernyataan, serta menilai keterdesakan siasatan dalam merakam pernyataan saksi sehingga lewat pagi.

Ia turut menentukan sama ada saksi yang mendapat kebenaran balik ke rumah tetapi memilih untuk berada di premis SPRM masih dalam tanggungjawab SPRM, menilai tahap keselesaan saksi menjalani proses siasatan di premis SPRM serta menyemak kelengkapan logistik dan menilai tahap keselamatan fizikal premis SPRM.

“Sebenarnya prosedur seperti ini diadakan telah lama la tapi kita lihat selepas Teoh Beng Hock mati semasa siatan baru isu ini timbul dan ini untuk diambil perhatian dan tapi masih belum lewat juga kerana ini memang keluhan rakyat,” katanya.

Laporan berkenaan diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, bersama-sama dengan Laporan Tahunan Jawatankuasa Aduan SPRM 2009 hari ini.

Tiada ulasan: