HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Mei 2010

Tahap Kebebasan Media Luntur, Majlis Media Tinggal Cadangan

TV SELANGOR

KUALA LUMPUR : Tahap Kebebasan Media di Malaysia dilihat semakin luntur dan hakikat ini disokong data dari indeks kebebasan media yang dikeluarkan sebuah organisasi antarabangsa, Reporters Without Borders.

Mengikut indeks, prestasi kebebasan media di Malaysia pada 2009 berada di tahap rendah malah menunjukkan kedudukan Malaysia kian merosot iaitu 39.05 mata daripada 44.25 mata.

Antara sebabnya ialah terlalu banyak peraturan digubal kerajaan pemerintah bagi mengekang media dari lantang bersuara.

Hal ini disuarakan Editor Politik The Sun, Zainon Ahmad pada forum kebebasan media anjuran Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) di Petaling Jaya.

Beliau pernah mencadangkan satu Majlis Media atau Press Council ditubuh bagi menyelia media tanpa campur tangan kerajaan pemerintah.

Zainon sendiri pernah menghantar kertas cadangan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu tapi tiada jawapan.

Menurut Zainon, Majlis Media berperanan memperihal kebebasan maklumat dan meningkatkan kualiti kewartawanan mengikut etika sebenar sebagaimana amalan di negara maju.

"Majlis Media bukan sahaja soal peraturan tetapi melatih wartawan mengenai cara sebenar, cara terbaik membuat liputan dan ia mesti diikat etika kewartawanan," katanya.

Dalam forum sama, perbincangan mengenai halangan yang dihadapi media dalam melaporkan sesuatu peristiwa kerap kali dicantas atas alasan faktor keharmonian dan keamanan antara kaum.

"Kita tidak boleh mengusik sensitiviti dan jaga ketenteraman awam sedangkan ini hanya alasan. Ini menyebabkan banyak isu tidak selesai walaupun sudah 52 tahun merdeka," katanya.

Tiada ulasan: