KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggesa orang ramai agar tidak terlibat atau terpedaya dengan pihak ketiga atau sindiket tertentu yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran simpanan KWSP secara tidak sah.
Pengurus Besar Perhubungan Awamnya, Nik Affendi Jaafar dalam kenyataannya berkata, seramai 16 ahlinya telah didakwa atas kesalahan melakukan penipuan pengeluaran sepanjang tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Tambahnya, kesemua ahli yang terlibat telah didakwa dan didenda oleh mahkamah namun 12 daripada mereka berkemungkinan dikenakan hukuman penjara empat bulan ekoran kegagalan membayar denda tersebut.
“Sejumlah 29 saman mahkamah telah difailkan dalam tempoh yang sama dan kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991.
“Tindakan mahkamah ini jelas membuktikan polisi toleransi sifar KWSP terhadap sebarang bentuk penipuan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli yang terlibat dalam aktiviti itu,” katanya.
Jelas Nik Affendi, aktiviti penipuan pengeluaran itu membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli untuk mendapatkan kelulusan permohonan berhubung pengeluaran simpanan KWSP mereka.
Sehubungan itu, beberapa kes telah dilaporkan kepada KWSP dan kebanyakannya melibatkan penggunaan dokumen palsu yang digunakan dalam pengeluaran pendidikan, kesihatan dan perumahan.
“KWSP mempunyai cara tersendiri untuk mengesahkan kesahihan sesuatu permohonan dan kami mempunyai sistem yang berupaya mengesan sebarang penipuan atau cubaan menipu pengeluaran.
“Oleh itu, mana-mana ahli yang tidak amanah pasti tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan