Aidila Razak
Wakil rakyat Pakatan tidak dihalang daripada menyaksikan pembayaran wang bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar-pelajar seperti yang diumumkan pada Bajet 2012, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Wee Ka Siong.Menjelaskan perkara itu di lobi Parlimen hari ini, Wee berkata pekeliling kementerian tidak menyebut tentang fahaman politik pemimpin-pemimpin tempatan atau wakil-wakil rakyat yang boleh dijemput bagi menghadiri upacara itu.
"Pekeliling itu (tidak pernah menyatakan) bahawa pemimpin Pakatan Rakyat tidak dibenarkan manakala hanya pemimpin tertentu sahaja yang boleh dijemput...
"Dalam mencadangkan wakil rakyat dijemput, ia tidak menyatakan dari parti mana. Tidak ada satu perkataan pun yang tertulis hanya wakil BN boleh dijemput. "
Pekeliling bertarikh 11 November yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Rosli Mohamed, menyatakan bahawa wakil rakyat termasuk ahli parlimen, ADUN dan pemimpin kerajaan persekutuan boleh dijemput apabila wang bantuan itu diedarkan kepada pelajar.Bagaimanapun, Wee mengakui bahawa sekolah-sekolah lebih cenderung menjemput pemimpin BN, kerana sebahagian besar mereka yang menganggotai persatuan ibu bapa dan guru adalah ahli-ahli parti pemerintah.
"(Juga) 80 peratus ahli lembaga pengarah sekolah terdiri daripada ahli-ahli MCA. Jika sekolah kekurangan dana, mereka pergi ke MCA atau Umno untuk minta bantuan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan