HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Disember 2011

Bagaimana hendak sahut 'salam 1Malaysia'

Pada majlis-majlis rasmi sejak kebelakangan ini, ucapan "salam 1Malaysia" sudah menjadi satu kebiasaan. Ungkapan yang tercetus hasil laungan slogan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan hasil ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, turut dilafazkan pembaca berita di awal dan akhir siaran setiap kali ke udara sama ada di radio mahupun televisyen.

Namun, ungkapan yang asalnya bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat itu cuba pula dipolemikkan apabila sesetengah pihak mendakwa ucapan salam itu merupakan perbuatan bidaah, tidak menjadi amalan Rasulullah dan lari daripada ajaran Islam.

Mereka mempersoalkan matlamat Salam 1Malaysia, kenapa dan bila perlu diucap serta apakah sahutannya kerana jika 'assalamualaikum' dan 'salam sejahtera', ada jawapan balasnya iaitu lafaz 'waalaikumussalam' dan 'salam sejahtera'.

Beberapa ahli akademik dan cendekiawan agama ketika diajukan persoalan itu menjelaskan "salam 1Malaysia" merupakan ucapan umum bertujuan mengukuhkan lagi perasaan 1Malaysia dijiwa rakyat bagi menunjukkan rakyat negara itu adalah satu walau apa jenis bangsa dan anutan agama sekalipun.

Dr Amini Amir Abdullah, pensyarah daripada Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata daripada konteks agama, Salam 1Malaysia bukan perbuatan bidaah selagi ungkapan itu tidak disekalikan dengan ucapan salam yang diajar Islam seperti 'assalamualikum warahmatullahhiwabarakatu 1Malaysia'.

Beliau berkata jika dilafazkan sedemikian, barulah ucapan "salam 1Malaysia" boleh dipertikaikan seolah-olah sengaja mempersendakan agama kerana ucapan "assalamualaikum" hanya merujuk kepada penggunaan sesama Islam sahaja.

"Kalau sesama Islam kita lafaz assalamualaikum diikuti Salam 1Malaysia tidak menjadi masalah kerana pada saya itu hanyalah ungkapan atau sapaan daripada orang Islam kepada yang bukan Islam," katanya kepada Bernama.

Mengenai cara menyahut "salam 1Malaysia" itu, Amini Amir, berkata adalah lebih sesuai sekiranya salam itu disambut dengan sahutan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Katanya walaupun agak panjang, sahutan itu adalah paling sesuai bagi membawa maksud konsep 1Malaysia yang diperkenalkan perdana menteri kerana gagasan itu datang bersekali dengan motto "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Beliau berkata Jabatan Penerangan yang menjadi teras dalam menyebar luaskan sesuatu dasar kerajaan perlu lebih efektif menyelidik bagi menyediakan garis panduan seperti di mana dan bagaimana "salam 1Malaysia" diungkapkan serta apakah jawapan sesuai bagi menjawab ucapan salam yang diungkapkan.

"Setiap pemimpin yang mendokong gagasan itu juga perlu memainkan peranan seperti sentiasa mengungkapkan Salam 1Malaysia dengan cuba memberikan gambaran bagaimana salam itu perlu disahut," katanya.

Ketua Pusat Pengajian Bahasa Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Norizah Ardi, pula berkata ucapan itu tidak perlu dipolemikkan kerana seperti mana ungkapan "salam sejahtera", "salam 1Malaysia" perlu dilihat dalam konteks sejagat yang boleh dilafazkan oleh sesiapa sahaja tanpa terbatas kepada sesuatu kaum dan agama.

Beliau berkata perkataan "salam" yang digunakan tidak boleh disamakan dengan lafaz assalamualaikum kerana istilah itu digunakan bagi disesuaikan dengan persekitaran masyarakat yang pelbagai, sama ada dari segi agama, kaum dan bangsa yang ada di Malaysia.

Norizah berkata, walaupun kerajaan tidak memberi pilihan atau cadangan bagaimana ucapan "salam 1Malaysia" perlu disahut, sahutan paling sesuai ialah dengan mengulangi ucapan "salam 1Malaysia" itu kepada orang yang melafazkannya.

"Dari segi logik, ia macam ucapan 'salam sejahtera' atau 'selamat pagi' yang mana kita akan menyambutnya dengan mengembalikan ucapan itu kepada mereka yang melafazkan," katanya.

Budayawan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata "salam 1Malaysia" telah menjadi satu trend baru seperti "salam perpaduan" yang pernah diperkenalkan sebelum ini.

Beliau berkata ucapan itu tidak mempunyai sahutan yang spesifik kerana "salam 1Malaysia" lebih kepada sapaan yang tidak memerlukan jawapan berbanding ucapan "apa khabar" dan "assalamualaikum" yang memerlukan kepada jawapan balas.

Bagaimanapun, tokoh Bahasa Melayu itu sependapat dengan Norizah yang menyarankan "salam 1Malaysia" dibalas sahutan "salam 1Malaysia" kembali.

"Tidak salah sekiranya ungkapan itu dibudayakan kerana ucapan itu tidak merujuk kepada mana-mana kaum atau agama secara spesifik, malah secara tidak langsung boleh merapatkan lagi hubungan antara kaum," katanya.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berpendapat ungkapan "salam 1Malaysia" dilafaz bagi mewujud dan mengeratkan lagi perpaduan masyarakat.

Beliau berkata soal bagaimana hendak membalas atau menyahut salam yang diungkapkan tidak timbul kerana yang lebih utama ialah tujuan di sebalik "salam 1Malaysia" itu sendiri, iaitu mendoakan perpaduan dan kesejahteraan sesama rakyat.

Perunding motivasi Rujhan Mohamed Razali pula berkata selain "assalamualaikum", semua ucapan salam yang lain adalah termasuk dalam kategori harus iaitu, "ucap pun boleh tidak ucap tidak mengapa".

Rujhan, dari Kiffah Motivation and Training Sdn Bhd, berkata selagi tidak membatasi lingkungan agama, "salam 1Malaysia" yang objektifnya adalah untuk perpaduan dan keharmonian, boleh dijawab dengan sahutan salam kembali.

"Bagaimanapun kita tetap ada pilihan sama ada nak jawab atau sebaliknya," kata rujhan, seorang daripada anggota panel rancangan "Tanyalah Ustaz" di TV9.

1 ulasan:

aisha berkata...

Dodge Sprinter Van AC Compressor
Well done for all your hard work in providing this high quality blog.