HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Disember 2011

6 program alternatif sambut tahun baru 2012

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia dan beberapa buah NGO Islam telah menyediakan enam program alternatif bagi menyambut kedatangan tahun baru 2012 malam ini.

Program-program tersebut terdiri daripada Konsert Hibur Didik, Ekspedisi Dakwah Gamis, Himpunan 1,000 Jiwa Satu Hati, Soal Jawab Agama Antara Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak, Malam Eksperesasi Ikim.FM dan Program Indahnya Islam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, daripada enam program tersebut, salah satunya dianjurkan sepenuhnya oleh pihaknya, manakala yang lain dianjurkan oleh NGO-NGO Islam.

Menurutnya, program yang dianjurkan sepenuhnya oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia dinamakan Konsert Hibur Didik yang akan diadakan di Dataran Greenwood, Gombak, Selangor, iaitu berdekatan dengan stesyen minyak Shell di Greenwood.

Katanya, Konsert Hibur Didik akan menghidangkan pelbagai persembahan hiburan berunsur Islam kepada orang ramai termasuk nasyid daripada kumpulan-kumpulan nasyid, persembahan hiburan daripada beberapa orang rokers yang telah menjalani hidup secara islamik, pembacaan sajak dan puisi.

"Konsert Hibur Didik akan bermula sekitar jam 9.00 malam ini sehingga awal pagi esok atau 1.00 pagi malam ini, dengan dihadiri saya sendiri dan Exco-exco Dewan Pemuda PAS Malaysia," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Program-program lain yang tidak kurang menariknya yang diadakan oleh beberapa buah NGO Islam pula, menurutnya, termasuklah Ekspedisi Dakwah Gamis, anjuran Gamis, di Masjid Jamek, Kuala Lumpur bermula awal malam ini hingga 1.00 pagi.

Katanya, program Himpunan 1,000 Jiwa Satu Hati akan berlangsung di Masjid Negara, Kuala Lumpur dengan jangka masa agak panjang bermula malam ini hingga tengah hari esok.

"Satu lagi program yang menarik akan diadakan di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam, Selangor, pada malam ini hingga jam 1.00 pagi yang dinamakan Soal Jawab Agama," jelasnya.

Program tersebut akan melibatkan pendakwah popular, Ustaz Azhar Idrus dari Terengganu dan Zizan Raja Lawak yang akan bersoal jawab mengenai pelbagai perkara termasuk yang melibatkan kehidupan muda-mudi.

Malam Eksperesasi Ikim.FM pula akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, anjuran radio Ikim, bermula malam ini hingga pagi esok, manakala Program Indahnya Islam akan diadakan di Masjid As-Syakirin KLCC.

Menurutnya, penganjuran program-program alternatif itu ternyata merupakan satu perkembangan baru di negara ini, khususnya bagi menyambut kedatangan tahun baru, memandangkan program-program seperti itu tidak pernah diadakan sebelum ini.

"Sebaliknya yang sering kita dengar sebelum ini bagi menyambut tahun baru adalah program-program hiburan yang melalaikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab seperti konsert-konsert hiburan daripada artis-atis tertentu, pesta seks bebas, larian tanpa pakaian dan sebagainya," ujarnya kesal.

Penganjuran program-program alternatif itu, katanya, pasti akan memberikan jalan keluar kepada anak-anak muda untuk memilih program terbaik kepada mereka bagi menyambut tahun baru.

Beliau berharap agar anak-anak muda dapat membuat pilihan yang bijak untuk berhibur bagi menyambut tahun baru dengan adanya program-program seperti itu yang disediakan untuk mereka.

"Ini juga sebenarnya selaras dengan tag line Dewan Pemuda PAS Malaysia sendiri, iaitu "Berhibur Tanpa Maksiat" dan diharap ia akan dimanfaatkan dengan baik oleh seluruh anak-anak muda terutama yang tinggal di Lembah Klang," tegasnya.

Sebelum ini Dewan Pemuda PAS Malaysia pernah dihujani dengan pelbagai pertanyaan mengenai program hiburan alternatif yang akan dianjurkan oleh pihaknya, setelah dewan tersebut sering mengadakan bantahan keras terhadap program-program maksiat yang merosakkan anak-anak muda yang diadakan oleh pihak-pihak tertentu.

"Dengan adanya Konsert Hibur Didik yang diadakan itu khususnya, bermakna Dewan Pemuda PAS Malaysia telah pun menjawabnya dengan menyediakan program yang terbaik untuk pilihan anak-anak muda pada malam ini," tegasnya.

Beliau juga menegaskan telah mengarahkan Dewan-Dewan Pemuda PAS negeri-negeri mengadakan tindakan yang sama di negeri masing-masing pada malam ini, dengan menganjurkan program-program hiburan yang bersesuaian dengan jiwa anak-anak muda seperti yang digariskan di dalam Islam.

Tiada ulasan: