HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Disember 2011

Undang-Undang Hubungan Kaum tidak perlu

Muhammad Faizal


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (kanan) menyifatkan Rang Undang-Undang Hubungan Kaum tidak diperlukan di negara ini jika kerajaan Umno Barisan Nasional memahami hak setiap kaum.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily hari ini menjelaskan situasi negara sekarang tidak memerlukan undang-undang tersebut malah apa yang perlu dilakukan adalah menghentikan sikap perkauman sesetengah pihak.

"Bagi saya kita tidak memerlukan undang-undang baru terutamanya dalam hubungan kaum jika sesetengah pihak boleh hentikan sikap perkauman mereka.

"Hubungan kaum boleh terjadi tanpa ada sebarang undang-undang jika masyarakat itu menghormati antara satu sama lain tanpa ada sikap berkepentingan diri sendiri," jelasnya.

Tambahnya lagi, masalah yang wujud sekarang adalah menghormati antara satu kaum malah masih ada pihak yang terlalu ekstrim dengan kaumnya sehinggakan sanggup melakukan sesuatu di luar batasan kemanusiaan.

"Kalau menyebut tentang Islam, sesetengah orang Islam itu sendiri tidak faham dengan tuntutan Islam yang telah meletakkan asas yang betul dalam hubungan antara kaum.

“Inilah yang menjadi masalah sebenar, kerajaan perlu peka dalam permasalah sekarang yang dimainkan oleh sesetengah pihak dan kalau perlu hentikan terus kegiatan mereka yang terlalu ekstrim dalam soal perkauman," sambung beliau lagi.

Dalam masa yang sama, beliau juga menekankan agar Umno yang perlu memahami apa makna sebenar hubungan antara kaum di dalam negara ini.

"Jika Umno itu sendiri betul-betul faham apa ertinya yang sebenarnya, maka mereka sendiri akan merasakan bahawa undang-undang tersebut tidak diperlukan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (kiri) berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan lebih awal dengan mengambil pandangan setiap lapisan masyarakat dan kaum di negara ini sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

"Kita mahukan sesuatu yang terbaik bukannya undang-undang dilakukan mengikut kepentingan parti politik.

"Perkara ini perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan mengambil pandangan setiap kaum di negara ini, setelah itu mewujudkan satu laporan lengkap dengan meletakkan segala sudut pandangan sebelum ia dibentangkan di Parlimen," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menyatakan dalam keadaan negara sekarang ini, perlaksanaan undang-undang itu bukan satu keperluan yang penting.

"Negara aman dan bagi saya tidak nampak langsung keperluan kepentingan undang-undang ini perlu dilaksanakan segera, apa yang perlu adalah perbincangan dan menghormati hak sesama kaum," sambung beliau lagi

Mengikut laporan media bahawa kerajaan telah mencadangkan undang-undang itu, yang akan dibentangkan pada Mac nanti.

Ia merupakan undang-undang yang dilihat mencerminkan komitmen pentadbiran Najib terhadap kepelbagaian budaya dan toleransi.

Tiada ulasan: