HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Disember 2011

Mahasiswa diseru keluar dari kepompong kepartian

Mahasiswa perlu tampil sebagai tokoh yang lebih besar daripada ahli politik dan sepatutnya mereka bertindak non-partisan," kata Senator Ezam Mohd Nor.



PETALING JAYA: Dalam mengharungi gelombang kebangkitan mahasiswa dewasa ini yang kelihatan tidak mampu disekat lagi maka para mahasiswa diseru agar menggunakan keberanian mereka untuk bertindak secara lebih matang dan objektif.

Senator Ezam Mohd Nor berkata, sebagai anggota masyarakat intelektual yang mewarnai ciri-ciri masyarakat majmuk di negara ini, mahasiswa perlu bertindak dengan lebih objektif dan berpendirian teguh dalam memperjuangkan idealisme mereka.

“Memandangkan arus kebangkitan mahasiswa dianggap positif maka mereka diingatkan supaya tidak menjadi alat kepada mana-mana parti politik pembangkang,” katanya dalam satu wawancara dengan FMT hari ini.

Katanya, mahasiswa perlu tampil sebagai tokoh yang lebih besar daripada ahli politik dan sepatutnya mereka bertindak non-partisan.

Mereka perlu letakkan diri luar dari hal politik. Keluar dari kepompong kepartian.

“Tindakan menurunkan bendera baru-baru ini tidak menampakkan mahasiswa berjiwa besar. Lebih bimbang bila mahasiswa tidak objektif dalam tindakan menurunkan bendera pemimpin yang melaksana reformasi besar iaitu (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mereka harus mengambil kira kesediaan pemimpin (Najib) yang mahu menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan bersangka baik tentang usaha untuk menghapuskan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU),” terang beliau.

Ujar Ezam, “mereka sebenarnya sudah terperangkap dan ini memadamkan kredibiliti dan keberanian mereka. Sedangkan sifat objektif ini tiada pada ahli politik.

“Jika mereka (mahasiswa) bawa satu isu yang menguntungkan sesetengah pihak maka kredibiliti mereka akan hilang,” jelasnya.

‘Pemimpin lama berundurlah’

Bekas Setiausaha Umum Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU) Syed Hamid Ali menyifatkan mahasiswa mempunyai hak demokrasi dan tidak menjadi kesalahan untuk bergerak di atas nama parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau yang lebih gemar dipanggil Pak Syed berkata, mahasiswa juga adalah anggota masyarakat dan tertakluk di bawah Artikel 119

Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan warga negara berumur 21 tahun ke atas layak mengundi dan ini menzahirkan hak mereka untuk turut terlibat dalam poltiik.

Katanya, mahasiswa sudah bersuara dan kini tiba masanya sang pemerintah pula untuk lebih sensitif dan peka terhadap tuntutan mereka.

“Tidak salah mahasiswa bergerak di atas nama politik atau NGO……. itu hak mereka. Kita ada peraturan dan undang-undang. Mereka juga anggota masyarakat, malah dalam Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan turut memberi jaminan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia.

“Jika pemerintah tidak peka dan sensitif, orang tetap akan bersuara. Bila mereka bersuara wujud pula pelbagai tekanan dan peraturan.

Jika begitu tidak perlu pakai perlembagaan. Guna kuku besi…..,” ujarnya.

Beliau berkata anak muda kini perlu diberi ruang memandangkan masa depan terletak ditangan mereka, malah pemimpin veteran yang tidak berkemampuan harus berundur dari terus memerintah negara.

“Yang nak tentukan masa depan adalah mereka sendiri. Jika anak muda tak peduli masa depan maka tiada siapa yang akan ambil tahu.

Maka orang tua yang tiada kemampuan keluarlah. Sekarang dah tak boleh guna cara lama. Satu dunia tidak terima, jangan guna cara menekan anak muda ini,” katanya yang masih aktif bergiat dalam dunia politik.

Mahasiswa sedar akan hak

Aktivis Hishamuddin Rais pula menyifatkan penglibatan mahasiswa dalam politik sebagai satu latihan kepada mereka untuk berfungsi sebagai warganegara yang bertanggungjawab.

Menurut Hishamuddin, mahasiswa kini mulai sedar mengenai hak mereka dan tidak mahu digula-gulakan oleh kerajaan.

“Masa depan bergantung dengan apa yang dilakukan sekarang. Sebanyak mana penindasan sebanyak itu pula penentangan dan hak bukan datang bergolek kerana ia lahir dari pejuangan. Kalau mereka tidak berani menuntut maka hak mereka tidak dapat dicapai.

“Adalah hak mereka untuk menyertai dan menyokong atau tidak mana mana parti. Hak ini kepunyaan mereka. Mereka ada hak untuk jadi bangang, dalam masa sama mereka juga ada hak untuk menjadi cerdik dan bijak,” katanya.

“Yang penting ialah pelajar menyusun peraturan mereka sendiri, bebas dan terpulang kepada mereka untuk terberak berdiri atau mencangkung. Itu hak mereka, tapi hari ini mereka hanya dibenarkan berak duduk,” katanya.

Tiada ulasan: