PEMERHATIAN penulis ke atas beberapa akhbar berbahasa cina kebelakangan ini menyaksikan wujudnya persaingan hebat dalam meramal tarikh sebenar pembubaran parlimen dan Pilihanraya Umum ke-13 akan diadakan.
Akhbar Sin Chew Jit Poh dan China Press sebagai contoh meramalkan Parlimen akan dibubarkan pada bulan Februari untuk membolehkan pilihanraya umum ke-13 diadakan pada bila-bila masa dari 1 Mac hingga 20 Mac 2012.
Ramalan ini adalah berdasarkan maklumat dalaman masing-masing mengenai pembekuan cuti anggota polis pada tempoh tersebut yang dikatakan ada kaitan dengan persiapan menghadapi pilihanraya umum.
Lebih menarik, akhbar Sin Chew dan Nan Yang Siang Pau juga meramalkan parlimen akan dibubarkan pada 15 Februari (Rabu) manakala proses pengundian pula pada 11 Mac 2012 (Sabtu).
Namu berdasarkan trend semasa tarikh yang lebih logik ialah pada 17 Februari 2012 iaitu pada hari Jumaat kerana Jumaat dianggap hari yang lebih afdal selain menjadi trend semua Perdana Menteri Malaysia yang menganggap Jumaat adalah hari bertuah untuk mengumumkan sebarang acara besar.
No 11 adalah nombor yang dikatakan menjadi kegemaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan sering dikaitkan dengan elemen tuah. Justeru tarikh pengundian pada Sabtu dilihat akan memberi kelebihan kepada BN berbanding jika diadakan pada 12 Mac (Ahad) kerana penganut Kristian akan mudah dipengaruhi untuk menentang kerajaan ketika mereka bersembahyang di gereja pada hujung minggu.
Menurut akhbar tersebut, selain sumber dalaman daripada pihak polis, semua maklumat ini juga dikatakan diperolehi daripada kumpulan pemikir (think tank) yang rapat dengan Perdana Menteri. Atas sebab-sebab tertentu, akhbar-akhbar tersebut tidak pula menyatakan badan pemikir mana yang menyalurkan maklumat tersebut kepada mereka.
Dalam perkembangan yang sama, sumber lain pula memaklumkan kepada penulis bahawa Barisan Nasional (BN) akan memberi penumpuan kepada 190 buah kerusi parlimen dan dari jumlah tersebut, BN yakin akan menawan sejumlah 170 buah kerusi. Indikasinya, BN kini kembali bernafsu untuk mendapat semula majoriti 2/3 yang hilang dalam PRU12 pada 2008.
Tapi dalam masa yang sama, temubual eksklusif Sin Chew dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pula membayangkan sebaliknya.
Nazri membayangkan BN akan mengalami kesukaran untuk kembali menguasai majoriti 2/3 dalam pilihanraya umum akan datang. Alasannya ialah, Malaysia sedang melangkah menjadi negara maju dan dengan itu rakyat juga menjadi lebih ’sofsikated’ dalam menentukan pilihan masing-masing di peti undi.
Pada pendapat penulis keghairahan akhbar-akhbar cina ini adalah semata-mata untuk melariskan jualan akhbar masing-masing kerana umum mengetahui majoriti masyarakat cina memang taksub dengan ‘ramalan’ yang telah menjadi hampir sebahagian daripada kehidupan mereka, walaupun dizaman moden hari ini.
Bagaimanapun, suatu yang pasti ialah, akhbar berbahasa cina jarang menampilkan maklumat dari sumber yang tidak kuat. Justeru untuk menolak bulat-bulat maklumat ini juga boleh menjurus Pakatan Rakyat kepada kesilapan dalam membuat perhitungan dari segi kos dan merangka strategi pilihanraya yang berkesan.
Oleh itu penulis beranggapan, tidak salah untuk pimpinan Pakatan Rakyat mengkaji semua kemungkinan termasuk ramalan-ramalan sedemikian dalam menyediakan parti berhadapan dengan BN dalam pilihanraya umum akan datang.
Paling penting mengenal pasti 190 kawasan-kawasan parlimen yang disebut akan menjadi fokus BN dan merencana strategi yang betul, daripada calon dan parti yang akan bertanding, sehinggalah kepada persiapan logistik yang bersesuaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan