Kelewatan Felda menjalankan proses penebangan pokok getahamat merunsingkan peneroka kerana pendapatan mereka terjejas.
JEMPOL: Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) hari ini bertanya kepada pengurusan Felda apakah yang Felda masih menunggu lagi berhubung kerja-kerja mengeluarkan tender dan menebang pokok getah bagi kawasan Felda Raja Alias 3 masih tidak dilakukan lagi.
Setiausaha Bangkit, Yaakob Mahmood berkata kelewatan Felda menjalankan proses penebangan pokok getah amat merunsingkan peneroka kerana pendapatan mereka terjejas memandangkan pelan garisan memotong amat tinggi dan kerja penorehan tidak boleh dilakukan dengan sempurna lagi.
“Sejak tahun lepas tender untuk menebang pokok getah telah dikeluarkan. Namun pihak pengurusan masih tidak memberikan jawapan bilakah tarikh sebenar penebangan pokok getah akan dilaksanakan”, kata Yaakob.
Yaakob berkata setakat ini lebih 60 peneroka Felda Raja Alias bersedia untuk melakukan proses penebangan pokok getah dan menjual kayu getah secara persendirian dalam masa terdekat jika Felda gagal memberikan sebarang respon.
Pengerusi Bangkit, Abdul Rahman Ramli pula berkata isu terbaru ini yang membabitkan peneroka Felda menunjukkan bagaimana agensi kerajaan seperti Felda sekali lagi gagal menjaga kepentingan dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.
“Apa masalahnya dengan Felda yang mengambil masa dua tahun tetapi kerja penebangan pokok getah masih belum dilakukan. Hendak tunggu apa lagi? tanya Abdul Rahman.
Sementara itu Ketua Blok J Felda tersebut Mansor Maarof berkata beliau dan penerola lain menunggu hampir dua tahun untuk proses penebangan pokok getah.
“Namun sehingga hari ini tiada sebarang tanda-tanda kerja penebangan pokok getah dilakukan. Sampai bila harus menunggu?
“Kita memang sokong kerajaan tetapi kalau masalah ini berlarutan, tidak tahu lah apakah reaksi peneroka selepas ini. Kita tidak mahu janji tinggal janji sahaja”, kata Mansor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan